Lebih 21,000 warga asing dipercayai miliki PLKS palsu berada dalam negara
Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan lebih 21,000 ribu warga asing dipercayai menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu di dalam negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya kini sedang memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu tersebut.
“Mereka ini dipercayai membeli PLKS palsu ini dengan harga bermula RM5,000 hingga RM6,000 berbanding RM2,100 mengikut levi.
“Ada yang dipercayai memiliki PLKS palsu ini dengan membelinya sendiri atau dibeli oleh majikan mereka.
“Kesemua mereka ini sedang diburu dalam operasi yang kami jalankan dan tindakan seperti mengusir keluar dan senarai hitam akan dikenakan jika ditangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut berkata yang pihaknya sedang merancang untuk mewujudkan sistem baharu bagi menggantikan sistem lama yang digodam sindiket tersebut.
“Kerajaan telah bersetuju dan meluluskan sistem baharu yang dikenali sebagai Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang sudah digunakan lebih 15 tahun.
“Sistem ini sedang dalam fasa pembangunan dan fasa pertama sistem tersebut boleh digunakan pada tahun hadapan,” katanya.
Tambahnya, dia percaya yang sistem tersebut akan dapat mengatasi masalah penggodaman dari luar yang menggunakan ID Imigresen ketika ini.
Terdahulu, SPRM pada semalam mendedahkan pihaknya telah melumpuhkan sindiket yang menjual PLKS palsu.
Sindiket yang didalangi Datuk itu dipercayai menggodam sistem Imigresen dan beroperasi secara berpindah randah di hotel untuk mengelak daripada dikesan. -SM