Nasional

SME Bank tawar RM300 juta bantu usahawan mikro dan kecil

SME Bank memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM300 juta menerusi Skim Pembiayaan Lestari Bumi khusus untuk membantu membangunkan usahawan mikro dan kecil.

Malah, peruntukan tersebut juga mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata,  hadir tepat pada masanya memandangkan usahawan mikro dan kecil negara sangat terkesan dengan impak pandemik Covid-19.

“Statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menunjukkan bahawa 41,349 perniagaan yang terjejas dan tutup akibat pandemik ini pada tahun lepas.

“Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara dan lebih 92% usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu.

“Saya menyeru agar mereka mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak yang berwajib demi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan seterusnya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti SME Bank,” katanya sewaktu majlis pelancaran skim tersebut di Hotel Majestic, Kuala Lumpur hari ini.

Selain daripada pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi ini, SME Bank turut menandatangani memorandum persefahaman MOU dengan tiga buah agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, skim pembiayaan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.

Ujarnya, melalui skim ini, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000. Ini semestinya akan membolehkan usahawan-usahawan mikro dan kecil ini meningkatkan perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi.

Melalui Skim Pembiayaan Lestari Bumi, usahawan akan menerima bantuan yang lebih berstruktur mengikut keperluan perniagaan mereka serta mendapat akses kepada program-program latihan dan bimbingan yang lebih efektif dan tersusun melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), sebuah anak syarikat milik penuh SME Bank,” jelasnya. -SM

(Visited 228 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button