Nasional

Jabatan pertanian sedia bantu pengusaha ketum tukar tanaman lain

Jabatan Pertanian Negeri Kedah sedia membantu pengusaha tanaman ketum di negeri ini bertukar kepada tanaman lain yang mampu menjana pulangan lumayan kepada mereka.

Timbalan Pengarahnya Ramli Abdul Rahman berkata, jabatan itu mempunyai pelbagai program tanaman selain mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan pengusaha terbabit untuk memastikan tanaman yang diusahakan berhasil.

“Jabatan Pertanian mempunyai beberapa program untuk pengusaha (tanaman) ketum yang mahu berubah kepada tanaman lain di mana kita ada program tanaman buah-buahan, tanaman kontan dan program tanaman sayur-sayuran.

“Kita boleh lihat balik tempat dan kawasan tanah mereka untuk kesesuaian tanaman apa. Macam dulu kita pernah membantu pengusaha tembakau untuk berubah kepada tanaman lain melalui program yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama pengusaha tanaman ketum di Kedah dan Perlis, di Jerlun hari ini.

Turut hadir pada perjumpaan itu Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Ramli berkata jika tempoh mendapatkan hasil yang menjadi kebimbangan, pengusaha berkenaan disaran mencuba tanaman sayuran atau cili fertigasi yang hanya memerlukan tempoh singkat untuk diusahakan dan mendapat hasil.

Sementara itu, seorang pengusaha ketum yang ditemui pada majlis itu, Mat Zin Ahmad, 65, menyatakan kesediaan untuk beralih kepada tanaman lain memandangkan permintaan terhadap ketum tidak setinggi dahulu.

Menurut Mat Zin, dia kini telah mula menanam kelapa di tanah miliknya bagi menggantikan sebahagian tanaman ketum yang telah diusahakannya sejak lapan tahun dulu.

“Sekarang ketum tak mahal dah, sebab ramai yang mengusahakannya, jadi saya ganti dengan kelapa sejak tiga tahun lalu dan sekarang sudah nampak hasil,” katanya.

Perjumpaan tersebut yang dianjurkan AADK bertujuan memberi penjelasan kepada pengusaha ketum berhubung langkah kerajaan meminda Akta Racun 1952 bagi mengawal dan menjalankan penguatkuasaan terhadap tanaman ketum.

Pindaan akta itu yang sedang dalam proses akhir sebelum dibentangkan di Parlimen antara lain akan menjadikan aktiviti menanam ketum sebagai satu kesalahan.

AADK mengenal pasti sejumlah 138 hektar (342 ekar) ladang ketum di negara ini yang sebahagian besarnya terletak di Kedah dan Perlis. — BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button