Nasional

Ahli Parlimen tubuh kaukus kaji penggunaan ketum, kanabis

SEBUAH Kaukus Medical Cannabis ditubuhkan oleh Ahli-Ahli Parlimen untuk mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan medical cannabis sebagai salah satu bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.

Kaukus tersebut terdiri daripada sembilan ahli Parlimen merentas parti yang akan merangka dasar dan strategi untuk mengkaji kawal selia penggunaan ketum dan kanabis bagi mengurangkan kemuradaratan bahan-bahan tersebut.

Sebagai sebahagian dari rangka kerja awal Kaukus Medical Cannabis akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan serta kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.

“Kaukus Medical Cannabis yang ditubuhkan ini diwakili oleh Ahli-Ahli Parlimen merentas pelbagai parti sebagai salah satu usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi untuk mengkaji kawal selia penggunaan ketum dan medical cannabis bagi mengurangkan kemuradaratan.

“Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa semangat bipartisan yang diangkat ini akan dapat diterjemah kepada dasar dan strategi yang baik untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.


Hasil daripada penubuhan ini Kaukus Medical Cannabis akan kemukakan draf cadangan untuk perhatian Kerajaan Malaysia bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan perubatan kanabis dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara.

Usaha tersebut juga untuk mengembangkan industri ketum dan perbuatan cannabis di Malaysia yang boleh memberi manfaat kepada industri kesihatan negara dan rakyat.

Kaukus Medical Cannabis tersebut dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Turut menganggotai Datuk Seri Azalina Binti Othman Said (Pengerang), Khalid Abd Samad (Shah Alam), Datuk Dr. Xavier Jayakumar Arulanandam ( Kuala Langat), Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang).

Juga mengganotai Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Menurut Kementeria Kesihatan Malaysia kanabis diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tumbuhan kanabis mengandungi lebih daripada 460 jenis bahan kimia yang dinamakan cannabinoid. Tiga bahan kimia utama yang memberikan kesan kepada manusia dan mempunyai kepentingan perubatan ialah tetrahydrocannabinol (THC), cannabinol (CBN) dan cannabidiol (CBD).

Di Malaysia, kanabis, kanabis resin, kanabis ekstrak dan kanabis tincture merupakan dadah berbahaya yang tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun yang tertakluk kepada Akta Racun 1952.

Sekiranya melibatkan produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia, ia juga merupakan dadah dan produk yang tertakluk kepada Akta Jualan Dadah 1952.

Akta-akta ini dan peraturan-peraturannya memperuntukkan kawalan ke atas pengendalian kanabis, antaranya pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan.

Kanabis seringkali disalah guna dalam kalangan penagih dadah untuk tujuan mendapat kesan high atau euforia, memudahkan ‘interaksi sosial’ serta mengurangkan stres atau tekanan.

Ketika ini penanaman kanabis adalah dilarang sama sekali di bawah seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.-SM

(Visited 70 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button