Politik

19 ketua cabang PKR Sarawak sokong saya – Baru Bian

PENGERUSI Majlis Pimpinan Negeri MPN Parti Keadilan Rakyat (MPN PKR) Sarawak, Baru Bian berkata 19 daripada 30 ketua cabang PKR Sarawak menyatakan sokongan terhadapnya untuk terus memimpin parti itu di Sarawak.

Baru berkata sokongan itu merupakan pilihan majoriti dan berharap pimpinan PKR nasional menghormati autonomi PKR Sarawak dalam membuat keputusan itu.

“Kami percaya terdapat pihak yang memulakan usaha mengumpul sokongan ketua cabang parti itu di Sarawak bagi memperkecil-kecilkan kemampuan saya dan menggantikan dengan pengerusi baharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini dengan kehadiran 16 daripada 19 ketua cabang berkenaan.

Baru mendakwa gerakan menjatuhkannya telah dirancang untuk dilaksana pada Konvensyen PKR negeri dan ini melanggar prinsip demokrasi.

Ketua Cabang PKR Selangau Joshua Jabeng sebelum ini mendakwa 18 ketua cabang di negeri itu mahu Baru berundur sebagai pengerusi MPN PKR Sarawak.

Baru turut mendakwa terdapat Akuan Bersumpah yang diedarkan kepada ketua cabang berserta tawaran wang kepada mereka yang bersetuju dengan gerakan menjatuhkan beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa sesiapa yang ditawarkan wang tersebut supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mengenai pembatalan Konvensyen PKR negeri pada Sabtu ini di Miri, Baru berkata ia merupakan keputusan majoriti melibatkan 32 daripada 46 ahli MPN PKR negeri.

“(Penganjuran) konvensyen PKR (negeri) terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvensyen ini sama sekali mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN PKR Sarawak,” kata Baru.

Beliau berkata mesej yang ingin disampaikan adalah PKR Sarawak mahu perkara ini diperbetulkan dan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa untuk melakukannya.  BERNAMA

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button