Nasional

Sebulan edar air ketum sebelum ditahan

SEORANG pengedar air ketum yang menggunakan beg penghantar makanan akhirnya ditahan selepas sebulan membuat kerja tersebut.

Suspek yang berusia 26 tahun itu ditahan di Taman Sri Timah, Kajang kira-kira pukul 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya turut merampas 23 bungkusan disyaki air ketum.

“Selain itu, kita turut merampas 36 bungkusan daun ketum segar dan satu plastik daun ketum basah yang diletakkan di dalam sebuah beg penghantaran makanan.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menjalankan pengedaran air ketum di kawasan Lembah Klang sejak sebulan yang lalu dengan menggunakan kenderaan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sebahagian daripada air dan daun ketum yang dirampas. – Gambar ihsan IPD Kajang

Menurut Zaid lagi, kesemua jumlah rampasan daun dan air ketum itu dianggarkan bernilai RM487.

Jelasnya, rampasan daun dan air ketum itu juga boleh dibekalkan kepada 20 hingga 50 orang pengguna.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika disabitkan boleh membawa hukuman didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya. -SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button