JenayahNasional

76 PATI Indonesia ditahan dalam dua serbuan berasingan

TIDAK endah kawalan ketat terhadap sempadan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Malaysia, padah diterima oleh 76 pendatang asing tanpa izin (PATI)

Mereka didakwa cuba lolos sempadan negara dengan menaiki bot dan dikesan di Kota Tinggi, Johor dalam dua siri serbuan oleh Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) Angkatan Tentera Malaysia dalam Op Benteng.

Dalam serbuan pertama, seramai 70 PATI warga Indonesia didakwa cuba meninggalkan negara ini secara tidak sah dan ditahan di persisir pantai Teluk Ramunia pada pukul 4.35 pagi 13 Januari.

Anggota petugas Pos Pemerhati dilapor mengesan kehadiran sebuah bot pancung yang sedang menurunkan PATI di jarak 100 meter.

Pada masa sama, anggota petugas rondaan turut mengesan kelibat PATI sedang berkumpul dalam hutan di persisiran pantai berhampiran lokasi sama pendaratan bot.

“Pasukan telah mengatur gerak tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, pasukan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membuat pengawasan di sekitar kawasan tersebut.

“Hasil serbuan yang dilakukan sekitar jam 4.35 pagi telah berjaya menahan 55 PATI yang sedang bersembunyi dalam hutan berhampiran kawasan tersebut.”

Demikian kenyataan daripada Gabungan Penggempur – Semerah Sehitam, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia,Kem Terendak, Melaka, hari ini.

Susulan serbuan itu juga, 15 pati lagi ditahan dalam waktu berasingan iaitu dua pada pukul 5.25 pagi dan 13 lagi pada pukul 7.50 pagi.

Justeru, jumlah tangkapan keseluruhan pada 13 Januari adalah seramai 70 orang melibatkan 64 lelaki dan enam perempuan berusia antara 21 hingga 47 tahun.

Tambah kenyataan itu lagi, pada hari ini (14 Januari) anggota Pos Pemerhati dilapor mengesan pergerakan bot pancung yang menuju ke arah Kuari Batu, Kampung Tanjung Che Lahom.

“Bot Pancung itu menurunkan PATI di jarak 50 meter dari persisr pantai.

“Hasil serbuan sekitar jam 5.20 pagi oleh tim QRF bersama Tim Dron BSPP telah berjaya menahan lima PATI yang baru tiba ke negara ini.

“Pada jam 7.15 pagi, seorang lagi PATI telah ditahan di sekitar Kampung Masjid Teluk Ramunia. PATI tersebut dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

“Kesemua PATI tersebut terdiri daripada 5 perempuan bersama seorang lelaki berusia 27 hingga 35 tahun,” tambahnya.

Kata kenyataan itu lagi, nilai rampasan susulan penahanan PATI itu berjumlah RM69,748.50 melibatkan wang tunai pelbagai jenis matawang, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen, Setia Tropika, Kempas. – SM

(Visited 524 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button