Nasional

Mohamad Hasan seru lebih ramai rakyat bukan Bumiputera sertai ATM

MENTERI PERTAHANAN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menyeru lebih ramai rakyat bukan Bumiputera diseru menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya dalam pasukan Tentera Darat.

Beliau berkata walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk promosi bagi mengalakkan pelbagai kaum bukan Bumiputera menyertai ATM, namun jumlah penyertaan masih rendah iaitu sekitar tiga peratus.

“Penyertaan kaum bukan bumiputera kali ini amat kurang sekali sekitar tiga peratus yang mana kalau diikutkan gaji anggota tentera sudah tinggi.

“Walaubagaimana pun, kita amat berharap agar mereka (kaum bukan Bumiputera) akan memilih kerjaya ini kerana tugas sebagai benteng negara seharusnya dipikul semua kaum bukan terletak di bahu satu-satu kaum sahaja,” ujarnya.

Mohamad Hasan berkata demikian dalam satu sidang media selepas hadir menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 197/23 dan Wanita Siri 48/23 yang diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson semalam.

Seramai 1013 Perajurit Muda yang terdiri daripada 661 lelaki dan 352 wanita berjaya menamatkan latihan bagi pengambilan kali ini

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Secara asasnya latihan Perajurit Muda adalah untuk melatih dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran sebagai seorang anggota tentera sebelum diserapkan dalam pelbagai Kor dalam Tentera Darat.

Tempoh latihan adalah selama enam bulan bermula 27 Mac hingga 23 September yang memberi penekanan kepada pembentukan keperibadian ketenteraan (profil) serta pembinaan kekuatan ketahanan fizikal dan mental.

Perbarisan diketuai oleh Penuntut Terbaik Keseluruhan, Perajurit Muda Faddry Izhan Norhan, 21, daripada Kompeni India dari Keningau, Sabah. Penganugerahan ini dipilih berdasarkan kepimpinan, dedikasi tinggi selain kecemerlangan dalam setiap ujian yang dilaksanakan.

Manakala bagi kategori Perajurit Muda Keseluruhan Wanita Terbaik dianugerahkan kepada Perajurit Muda (W) Nur Faraain Md, 21, yang berasal Bentong, Pahang. Semua hadiah kategori pemenang disampaikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan. – SM

Artikel berkaitan > GLC diminta bantu 90 peratus veteran tentera di bawah B40

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button