fbpx
Nasional

19 daripada 189 jemaah tabligh masih tersangkut di India

Tiga bulan tersangkut di India, Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa pihaknya berjaya membawa pulang sembilan ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat tempatan pada semalam.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, dua daripada mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang manakala tujuh yang lain tiba kira-kira pukul 6.58 petang.

“Setakat ini, kita telah berjaya membawa pulang sebanyak 170 daripada 189 ahli jemaah tabligh yang masih berada di India.

“Sebelum ini, sebanyak 161 jemaah tabligh rakyat tempatan telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamarudin, sehingga hari ini terdapat sebanyak 19 jemaah tabligh rakyat tempatan yang masih berada di India.


Jelasnya, daripada jumlah itu, 10 jemaah tabligh yang berada di New Delhi telah selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah.

“Baki sembilan jemaah tabligh yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

“Penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kerjasama yang diberikan.

Tambahnya, pihaknya juga  mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka.

“Kita juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu,” jelasnya. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button