Nasional

Polis akan panggil MB Selangor selepas selesai kuarantin kendiri

Polis akan memanggil Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ke Bukit Aman dalam tempoh terdekat, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan sedang dijalankan susulan satu kenyataan dimuat naik berhubung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu yang didakwa ingkar kuarantin pada 5 Okt lepas.

“Beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan beberapa saksi lain juga akan dipanggil,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 serta Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana kesalahan berkaitan usaha kerajaan membendung penularan jangkitan COVID-19.

Amirudin sebelum ini menjalani kuarantin kendiri di rumah bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan sebaik pulang daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada September lepas.

Pada 4 Okt lepas, Amirudin menerusi akaun Twitternya memohon maaf apabila terpaksa keluar daripada menjalani kuarantin bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas.

Menerusi hantaran sama, Amirudin berkata beliau tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, manakala kedua-dua ujian saringan yang dilakukannya menunjukkan keputusan negatif.

Amirudin turut memaklumkan beliau melawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada hari berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada awal bulan ini, dilaporkan berkata sedang meneliti kes membabitkan Amirudin, termasuk permohonan maaf beliau menerusi media sosial sebelum sebarang tindakan susulan diambil. -SM

(Visited 396 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button