Nasionalpilihan

15,000 pakaian percuma beri sinar golongan B40

Butik Rakyat Rahmah 4.0 di RUTC Klebang Besar

Lebih 15,000 pakaian percuma ditawarkan kepada seluruh rakyat Melaka bagi golongan B40 di Butik Rakyat Rahmah 4.0 di di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar, Pulau Gadong di
sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, bukan setakat pakaian yang boleh diambil secara percuma tetapi mereka yang datang ke sini bakal diberikan sekampit beras 10 kilogram (kg) setiap seorang.

Menurutnya, selain itu orang ramai juga akan diberikan bakul makanan dan seekor ayam pada satu majlis yang akan diadakan beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Orang ramai memilih pakaian di Butik Rakyat Rahmah di RUTC, Klebang Besar, Pulau Gadong, Melaka

“Ini adalah kelainan yang saya tonjolkan buat penganjuran kali keempat. Orang ramai bukan sahaja dapat bawa pulang lima helai pakaian berbanding empat helai tahun lalu tetapi juga akan menerima beras.

“Bagi penyerahan bakul makanan dan seekor ayam pula nanti saya akan maklumkan bila tarikh sebenar orang ramai boleh datang ke RUTC.

“Penganjuran Butik Rakyat Rahmah adalah semata-mata membantu golongan B40 yang tidak berkemampuan dan mereka boleh datang ke sini pilih pakaian yang disukai dan dibawa pulang,” ujarnya baru-baru ini.

Mohd. Yusof berkata, antara jenis pakaian yang disediakan adalah baju kurung, baju kebaya, jubah, selendang, tudung, baju Melayu, baju kanak-kanak, seluar lelaki dan wanita.

Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada individu dan syarikat menyumbangkan pelbagai jenis pakaian untuk diagih-agihkan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah.

Bagi seorang suri rumah, Noraishah Bee Raja Patal Othman Shah, 42, berkata, sebagai rakyat berpendapatan rendah Butik Rakyat Rahmah di RUTC Klebang Besar ini sememangnya ditunggunya setiap kali ketibaan Ramadan.

“Nak beli baju baharu dengan anak lima orang dan suami berpendapatan sederhana mana mampu. Bila ada pemberian baju secara percuma ini, ia sangat melegakan buat kami sekeluarga menyambut
Aidilfitri kali ini,” ujarnya dari Kampung Bertam Malim.

Bagi Mohd Azrin Musa, 43, seorang pengawal keselamatan berkata, inisiatif seperti itu dianggap sebagai satu rahmah besar bagi dirinya yang mempunyai tanggungan enam anak kecil.

“Butik Rakyat Rahmah ini adalah rezeki buat saya dapat meringgankan beban kami sekeluarga menyambut Aidilfitri juga dapat mengurangkan perbelanjaan bagi kegunaan lain,” ujarnya yang tinggal di Pokok Mangga. – SM

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button