Yang tua tegap berdiri, yang muda menjadi goyah
PERSIDANGAN Parlimen belum berakhir. Belanjawan 2021 juga belum diluluskan sepenuhnya. Setakat ini hanya diluluskan secara dasar.
Akan ada lagi undian diperingkat jawatankuasa dan ketika ini perlu dilakukan lagi pindaan bagi memastikan ia diluluskan.
Ini bermakna pada minggu hadapan lebih banyak drama dapat disaksikan di Parlimen. Masyarakat hari ini bertuah kerana dapat menyaksikan langsung suasana di dalam parlimen.
Jika dahulu ia hanya berdasarkan apa yang dilaporkan oleh media dan sedikit sedutan yang disiarkan oleh RTM.
Drama parlimen minggu ini ialah apabila pemimpin paling senior iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin parti Pejuang tegap berdiri menyokong usul undi belah bahagi ketika meluluskan belanjawan.
Pada masa yang sama pemimpin muda, Syed Saddiq Abdul Rahman yang memimpin parti Muda tidak mampu mengangkat ponggongnya untuk berdiri di atas kaki dan menyatakan pendirian.
Alasan diberikan kerana keliru dengan arahan saat akhir diberikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Inilah bezanya apabila pemimpin yang lebih dahulu makan garam dan telah khatam segala jurus sepak terajang politik, berbanding pemimpin baharu berusia setahun jagung.
Inilah juga bezanya pemimpin yang berprinsip dengan pemimpin yang seperti lalang yang condong mengikut arus angin.
Pemimpin seperti Dr. Mahathir tidak ramai yang mampu bertahan dan jika bertahan ia kekal sepanjang hayat.
Itulah Dr. Mahathir. Beliau mempunyai pandangan dan pendirian sendiri serta utuh dengan apa yang dipegangnya.
Dr. Mahathir dilabel sebagai orang yang suka bergaduh, tetapi sebaliknya ramai yang lupa negarawan itu sebenarnya tidak teragak-agak untuk menegur siapa sahaja jika didapati olehnya sesuatu yang tidak betul.
Ketika kehilangan majoriti beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan tidak mahu berbelit-belit ibarat menegakkan benang yang basah bagi meneruskan kerajaan berada dihujung tanduk.
Beliau dipecat oleh parti pimpinannya Bersatu dan diambil alih oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini menjadi Perdana Menteri dan membentuk gabungan bersama-sama UMNO dan Pas di dalam Perikatan Nasional yang menjadi kerajaan hari ini.
Kerajaan yang terumbang-ambing ini kelihatan amat sukar untuk bergerak sehingga sekecil-kecil urusan sehingga yang sangat besar iaitu bagi meluluskan belanjawan.
Negara tidak boleh berterusan begini dan diharapkan apabila masa yang sesuai tiba iaitu pandemik sudah berakhir, wajarlah diadakan semula pilihan raya bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.
Namun apa juga perbezaan pandang tentang Dr. Mahathir, tetapi banyak yang boleh dipelajari oleh kita semua terutama dalam memilih pemimpin dan bagi mereka yang berminat menceburi politik sepenuh masa.
Pada masa ini lebih ramai pohon lalang yang berbuai mengikut permainan bayu, berbanding yang berprinsip ibarat tegaknya pohon kelapa walaupun diancam dan disambar petir sabung menyabung.