Politik

Tiada istilah lulus peringkat dasar, tolak peringkat jawatankuasa

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan mengingatkan semua ahli Parlimen agar mengasihani dan menghormati rakyat dalam meluluskan Belanjawan 2021.

Takiyuddin berkata, tidak ada istilah meluluskan Belanjawan di peringkat dasar tetapi menolaknya di peringkat jawatankuasa.

“Keputusan lulus Bajet 2021. Titah dan tugas yang bertanggungjawab. Tiada istilah lulus Peringkat Dasar, tolak pula peringkat jawatankuasa. Kasihi dan hormati rakyat, kerajaan bertindak untuk semua,” kata Takiyuddin.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menzahirkan penghargaan terhadap Ahli Parlimen yang memberi sokongan bagi membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lalu.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sokongan dalam meluluskan Belanjawan 2021 adalah untuk menjamin kesejahteraaan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun beberapa parti politik termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli Parlimen pemerintah supaya jangan meraikan ‘kemenangan’ terlalu awal, kerana Belanjawan 2021 masih boleh ditolak di peringkat jawatankuasa, walaupun lulus di peringkat dasar.

Anwar berkata keputusan majoriti pembangkang untuk tidak menyokong cadangan mengadakan undian secara belah bahagi hari ini kerana tidak mahu mengganggu Belanjawan 2021 di peringkat awal, memandangkan masih terdapat proses yang perlu dilalui.

Anwar mengingatkan Belanjawan 2021 masih boleh ditolak pada bacaan dan perbahasan seterusnya sekiranya ia masih tidak memenuhi aspirasi rakyat.

“Masih terlalu awal untuk mereka merayakan berlebihan, walhal yang kita fikirkan ini bukan soal kemenangan politik tetapi kemenangan rakyat dan kebajikan rakyat,” katanya.

“Kita ambil keputusan untuk tidak (undi) berbelah bahagi, (kerana) tidak mahu ganggu di peringkat awal.

“Hal ini kerana ada gambaran tidak tepat dalam kalangan rakyat, kalau kita tolak sepenuhnya, ia akan menyebabkan terjejasnya gaji penjawat awam, elaun buat petugas barisan hadapan dan kemudahan lain serta bantuan rakyat,” katanya

Sementara, Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) masih mempunyai peluang untuk menolak belanjawan dibentangkan pada peringkat jawatankuasa, jika proses pengeluaran Skim i-Sinar KWSP tetap rumit.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, prosesnya tidak seharusnya sengaja menafikan hak rakyat untuk mengeluarkan wang mereka sendiri.

“Saya perhatikan ada yang bimbang bahawa proses pengeluaran skim i-Sinar KWSP akan tetap rumit.

“Saya dan BN bersangka baik bahawa KWSP akan permudahkan segala pengeluaran dan tidak akan menyusahkan atau sengaja menafi hak Rakyat untuk mengeluarkan wang mereka sendiri.

“Jika masih rumit atau menyusahkan, BN masih ada peluang untuk menolak bajet pada undian peringkat jawatankuasa, kata Najib.

Dewan Rakyat Khamis lalu meluluskan RUU Perbekalan 2021 di peringkat dasar melalui undian suara selepas sebahagian besar Ahli Parlimen, termasuk pembangkang tidak menyokong cadangan undian secara belah bahagi.

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button