Infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) di semua lebuh raya bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dalam negara akan dibangukan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, EV akan dibangunkan selaras dengan pelaksanaan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 dengan menggariskan pelan strategik bagi mencapai pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) menjelang 2030.
Menurutnya, projek berkenaan menjadi aspirasi kerajaan dalam mencapai Negara Rendah Karbon menjelang 2040.
“Kementerian sudah memulakan strategi bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang menggariskan empat Bidang Fokus, 10 Strategi dan 45 Pelan Tindakan untuk sektor pengangkutan darat bagi mencapai pengurangan tenaga serta pelepasan GHG menjelang 2030.
“Sasaran yang ditetapkan dalam pelan berkenaan adalah mencapai 9,000 poin pengecas arus ganti (AC) dan 1,000 poin pengecas arus terus (DC) di seluruh negara menjelang 2025.
“Kita juga mahu memastikan poin pengecas EV pantas dipasang bagi setiap 100 kilometer (km) di sepanjang lebuh raya utama menjelang 2023-2025,” katanya selepas merasmikan kemudahan pengecasan
berkelajuan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.
Alexander berkata, KKR menyasarkan 20 pengecas pantas kenderaan elektrik DC yang akan dibangunkan oleh pelbagai operator pada tahun 2023 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang menjadi tulang belakang menghubungkan Singapura ke Thailand.
Selain itu, katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga sudah mengenal pasti 63 lokasi poin pengecas pantas kenderaan elektrik DC di R&R serta hentian sebelah yang terpilih di lebuh raya bertol di seluruh negara.
Katanya, sebanyak 22 pengecas pantas kenderaan elektrik DC sudah beroperasi di seluruh lebuh raya antaranya di R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2).
“KKR sudah memberi beberapa kelulusan di lebuh raya sekitar Lembah Klang dan terdapat 45 lagi permohonan bakal diluluskan,” katanya.
Sehubungan itu, Alexander berkata, pengguna pengecas pantas kenderaan elektrik DC TNB Electron dapat menikmati kemudahan terbabit secara percuma sehingga akhir bulan ini.
Jelasnya, tiga lokasi tersebut ialah R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara di Lebuhraya LPT2.
Pihak TNB katanya, masih mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh berkenaan kepada April ini. – SM