Nasional

Buka puasa awal tiga minit, bukan salah bilal secara mutlak

PENDUDUK yang berbuka puasa tiga minit awal kerana mengikut waktu azan Maghrib yang dikumandangkan Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak pada Isnin lalu perlu diganti.

Bilal Masjid Negeri Selangor, Ustaz Hazizul Masdin atau dikenali sebagai Ustaz Zoul berkata, walaupun bilal yang melakukan kesalahan, mereka yang berbuka awal kerana mendengar azan itu tetap perlu mengganti puasa.

“Memang kita tidak dibenarkan untuk berbuka puasa walapun sesaat lebih awal daripada waktu azan maghrib dikumandangkan.

Bilal Masjid Negeri Selangor, Ustaz Zoul

“Waktu tergelincirnya matahari adalah waktu yang paling tepat untuk berbuka. Tetapi zaman sekarang sudah ada teknologi yang canggih.

“Jadi adalah mustahil jika kita tersalah berbuka awal. Kecuali disebabkan kesalahan seperti jam yang tersalah tetapan seperti yang berlaku di masjid tersebut,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Namun menurut Ustaz Zoul, kesalahan tidak boleh diletakkan kepada bilal secara mutlah kerana berbuka puasa bukan semata-mata ditentukan oleh azan.

Ditanya berkenaan kekeliruan sama ada perlu qada puasa jika terbuka puasa lebih awal daripada waktunya tanpa disengajakan, Ustaz Zoul memberitahu terdapat dua pendapat para ulama.

“Mazhab Hanbali mengatakan tidak perlu qada puasa.

“Tetapi kita cenderung kepada pandangan Mazhab Syafie dan sebahagian lain ulama mengatakan puasa terbatal dan wajib qada,” katanya.

Terdahulu, Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak dalam kenyataannya meminta supaya jemaah yang bergantung kepada laungan azan Mahgrib di masjid berkenaan untuk berbuka supaya menggantikan puasa mereka.

Ini kerana puasa mereka telah terbatal kerana terdapat kesilapan teknikal disebabkan waktu azan Maghrib yang dikumandangkan awal tiga minit daripada yang sepatutnya.

“Begitulah pandangan jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’,” kata kenyataan itu. -SM

(Visited 1,050 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button