JIKA Mahathir tidak menjadi perdana menteri buat kali kedua, mungkin pukulan kegagalan wawasan yang beliau garap iaitu Wawasan 2020 tidaklah menjadi satu tamparan yang terlalu hebat.
Beliau mungkin hanya menyalahkan perdana menteri yang menggantikan beliau gagal memacu pertumbuhan negara seperti yang telah dirancang. Ataupun salahkan mana-mana negara atau pemimpin dunia lain yang kononnya mensabotaj Malaysia walaupun hakikatnya negara ini besarnya hanya sebutir biji padi di dalam peta dunia.
Tetapi tuhan maha adil. Mahathir panjang umur dan menjadi perdana menteri buat kali kedua dan bukan sahaja menyaksikan kegagalan wawasan itu yang didendangkan setiap hari sebelum ini, bahkan terpaksa menelannya walaupun pahit.
Tapi saya yakin Mahathir tidak ada masalah kerana perasaan beliau sudah mati walaupun fizikal masih lagi bernyawa. Mahathir 2.0 ini adalah Mahathir membenarkan apa beliau tidak benarkan dahulu.
Tak pasti hendak dikatakan versi ini adalah yang ditambah baik atau versi yang banyak kecacatan.
Tetapi sebagai rakyat saya kecewa kerana wawasan itu gagal dicapai untuk melihat negara ini sebagai negara maju pada tahun 2020. Saya boleh bayang jika wawasan itu dicapai dalam tempoh tidak sampai sebulan kita akan menyambutnya dengan penuh gilang gemilang.
Saya rasa Mahathir tidak akan sempat untuk memperbetulkan segala kesilapan dan kerosakan yang telah beliau lakukan, kerana masa tidak menyebelahi beliau. Seperti mat salleh berkata he will die standing. Bermakna dia pergi dengan jawatan sebagai perdana menteri, tetapi gagal memperbetulkan kesilapan yang lampau, bahkan memburukkan lagi keadaan.
Orang lain yang mengambil alih tugas beliau selepas ini mempunyai tugas yang amat berat untuk memperbaiki dan memperbetulkan kebobrokan yang telah dikerjakannya.