Politik

UMNO pernah berunding dengan DAP, minta sokongan Amanah, PKR

SEBELUM pembentukan semula Kerajaan Negeri Perak oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), UMNO didakwa pernah berunding dengan DAP.

UMNO dikatakan berunding kononnya meminta restu DAP bagi membenarkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR menyokong UMNO bagi tujuan tersebut.

Ini kerana, UMNO kekurangan kerusi yang cuma ada 25 sahaja, namun bagi membentuk kerajaan di Perak, sesuatu parti itu perlu mendapat sokongan daripada 30 orang.

Amanah mempunyai lima kerusi sementara PKR pula ada tiga. Gabungan kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu membolehkan UMNO menerajui kerajaan negeri.

Tetapi, UMNO pula tidak mahu menerima syarat PH yang mementingkan kesetiaan dan semangat setiakawan, iaitu enggan menerima DAP.

Konflik tersebut timbul selepas UMNO dikatakan tidak dapat menjamin sokongan kepada pemimpinnya untuk menjadi Menteri Besar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) ditolak menerusi usul undi percaya.

“Apa yang berlaku di Perak ada sebagai membuktikan sikapnya dan selepas dia (UMNO) sudah ketepikan Menteri Besar melalui usul undi percaya, dan si Peja percaya usul itu bertujuan untuk menyatakan sokongan terhadap dirinya, bersetuju dibentangkan.

“Kemudian, apabila dibaca usul tersebut, dipuji-puji Peja, beliau pun seronok, tetapi bila undi orang yang bawa usul pun menolaknya sendiri.

“Jadi, bagi kita apabila membawa usul undi percaya terhadap Peja, memang kita tolaklah.

“Dari sudut itu, memang tidak ada perancangan ataupun kerjasama antara kita dengan UMNO.

“Tetapi, setelah kerajaan negeri itu jatuh, Menteri Besar sudah tiada, maka pihak UMNO ada 25, Peja dan geng ada 10.

“Yang 10 itu, mereka kata tidak sokong tindakan dilakukan oleh UMNO yang ada 25 dan tidak cukuplah untuk tubuhkan kerajaan yang perlukan 30 kerusi.

“Maka, opsyen yang kedua ada pada mereka adalah untuk membentuk satu kerajaan perpaduan bersama dengan Pakatan Harapan.

“Maka, bila sudah tiada Menteri Besar, mereka cuba cari partner yang baharu untuk membentuk kerajaan negeri bila Pas dengan Bersatu dan yang lain berkeras tidak mahu lepaskan Peja.

“Akhirnya, mereka berunding dengan PH, tetapi mereka cuba berunding dengan hendak tarik hanya Amanah dan PKR.”

Kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, ketika dihubungi Suara Merdeka malam tadi, mengulas sikap UMNO terhadap PH dalam isu politik Perak.

Katanya, tidak timbul soal perebutan jawatan ataupun pangkat dalam sokongan kepada Kerajaan Negeri Perak.

Sebaliknya, beliau menegaskan PH mementingkan integirit dan menolak pengkhianatan seperti yang berlaku dalam PN dan UMNO.

“Memanglah PKR dan Amanah kita tak akan mengkhianati rakan dan berpegang teguh kepada kesatuan PH.

“Maka, peristiwa di Perak ini menunjukkan nombor satu adalah sikap UMNO yang bersedia untuk mengkhianati rakan, walaupun pernah berjanji dan bersama untuk menyokong (PN).

“Ia menunjukkan sikap PH, kita kukuh, bersatu dan tak akan khianat, sekarang ini mengamalkan budaya politik yang bersih, berintegriti dan setiakawan hanyalah PH.

“Yang lain semua saling khianat mengkhianati, tikam-menikam di antara satu sama lain dan saling jatuh-menjatuhkan, akhirnya yang ada hanya PH merupakan rakan setia.

“Di Perak, kalau UMNO berani buat janji dengan kita, terima kita punya syarat, kita boleh menubuhkan kerajaan dna tak akan khianat selagi mana UMNO tidak khianat,” tegasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button