Hiburan

Usanita Lancar UTV, Platform OTT Baharu Dengan Pelbagai Kandungan Eksklusif

USANITA Sdn Bhd melalui Usanita Entertainment terus mengorak langkah dalam dunia hiburan digital dengan pelancaran UTV, sebuah platform penstriman (OTT) terbaru yang bakal menemui penonton Malaysia dan serantau tidak lama lagi.

Platform UTV yang dijangka dilancarkan rasmi hujung Mei ini tampil dengan tagline ‘Stream For You’, menonjolkan pengalaman hiburan lebih peribadi, inklusif dan menyentuh emosi—seiring identiti masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Berbeza daripada platform lain, UTV memberi fokus kepada suara autentik, kisah bermakna serta karya asli tempatan, selain mengiktiraf peranan wanita dalam industri hiburan digital.

Baru-baru ini Usanita meraikan sambutan hari raya di hotel tengah ibu kota Kuala Lumpur

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, penubuhan UTV bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk menonjolkan karya di pentas digital, selain memperluas capaian ke peringkat serantau.

“UTV diwujudkan kerana kami yakin kandungan tempatan berani dan asli mampu mencuri perhatian serta memberi inspirasi, bukan hanya dalam negara, malah di peringkat serantau. UTV bukan sekadar menayangkan kandungan—ia juga berperanan mendidik, menyatukan dan memperkasakan suara rakyat Malaysia, terutama wanita, dalam dunia hiburan digital,” ujarnya.

UTV bakal menyajikan pelbagai kandungan premium seperti drama bersiri, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara, serta kandungan gaya hidup dan belia yang segar, menepati citarasa generasi digital masa kini. Lebih menarik, Usanita Entertainment turut melantik pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima, sebagai Channel Advisor demi memastikan kualiti produksi sentiasa di tahap terbaik dan kompetitif.

Selain memperkenalkan UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan istimewa di bawah kerjasama dengan Mask Team, yang akan diadakan di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC). Persembahan pertama, An Evening With Nadeera Zaini, dijadualkan pada 30 Mei 2025 (Jumaat), diikuti Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei 2025 (Sabtu). Kedua-dua acara bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, menjanjikan persembahan muzik eksklusif bersama artis tempatan berbakat besar.

Datuk Adzliana berkata, Usanita Entertainment komited mendekatkan seni dan muzik tempatan dengan peminat menerusi penganjuran acara seperti ini.

“Persembahan eksklusif ini menjadi pentas buat artis berkarya dalam suasana lebih intim, di samping menghargai peminat yang sentiasa menyokong industri hiburan tanah air. Kami percaya, Nadeera dan Hael akan menghadirkan persembahan memukau, selari nilai yang dipegang Usanita Entertainment iaitu meraikan seni tempatan berkualiti tinggi,” katanya.

Kesemua pengumuman ini dibuat dalam suasana meriah di Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd di Grand Hyatt Kuala Lumpur, yang turut dimeriahkan selebriti terkenal seperti Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Erma Fatima, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Nadeera, Hael Husaini dan ramai lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button