Nasional

Tokan dadah cuba rempuh polis ditahan

SEORANG lelaki berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat sebagai pengedar dadah di tahan dalam Op Tapis di tepi Lebuh Raya NPE menghala ke Sunway Mentari, Petaling Jaya, semalam.

Suspek yang ditahan kira-kira pukul 3.15 petang itu pada mulanya cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaannya hingga merempuh kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya telah melepaskan dua das tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kereta suspek.

“Suspek juga bertindak agresif hingga berlaku pergelutan antara kita dan suspek semasa proses tangkapan dibuat.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemukan 20 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 26 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki bernama Viky di kawasan Subang Jaya.

Jelasnya, suspek juga dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis heroin di sekitar kawasan Petaling Jaya sejak setahun yang lalu.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan tiga kes dadah,” ujarnya.

BACA> 180 individu ingkar PKP ditahan semalam

Hasil tangkapan suspek pertama kata Nik Ezanee telah membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Jalan USJ 13/5E, Subang Jaya kira-kira pukul 5 petang hari yang sama.

“Hasil serbuan telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan menemukan beg plastik yang mengandungi pelbagai jenis dadah di dalam bilik lelaki itu.

“Antara dadah ditemukan ialah 11 paket lutsinar dadah disyaki jenis Syabu seberat 140 gram, satu paket lutsinar mengandungan helaian daun-daun kering disyaki ganja (117 gram), tiga paket pil ekstasi, dan dua paket dadah jenis heroin,” jelasnya.

Antara dadah yang ditemukan polis dalam serbuan yang dilakukan semalam. – Gambar ihsan IPD Petaling Jaya

Nik Ezanee berkata, kesemua rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM48,480.

Serbuan seterusnya di sebuah rumah di Jalan USJ 3/4K, Subang Jaya pada pukul 5.40 petang pada hari sama pula jelasnya telah membawa kepada penangkapan suspek lelaki kertiga berusia 29 tahun.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari dan suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BACA> 17 terbunuh pesawat bawa pulang warga India terkandas akibat Covid-19

“Suspek kedua dan ketiga pula disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. -SM

(Visited 540 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button