Nasional

Portal khas bantu rakyat M’sia hilang pekerjaan di luar negara kerana Covid-19 diwujudkan

Butiran lanjut Isnin depan

MENTERI Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mengumumkan satu portal khas khusus untuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara berikutan terjejas akibat pandemik Covid-19 akan diwujudkan.

Beliau berkata, ia perlu bagi memudahkan pihak kementerian mengetahui jumlah sebenar mereka yang telah kehilangan pekerjaan. Kaedahnya ialah dengan mendaftar di portal itu sebelum dibantu menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

Menurut Saravan, butiran lanjut mengenai portal tersebut akan diumumkan Isnin ini.

“Saya perlu mengetahui angka sebenar rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara akibat wabak Covid-19 supaya kementerian dapat menawarkan pelbagai latihan kemahiran atau peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

“Ini adalah antara langkah yang kita lakukan untuk mengatasi masalah pengangguran kerana kebanyakan mereka yang kehilangan pekerjaan mempunyai komitmen yang cukup tinggi seperti pinjaman perumahan dan kereta,” katanya.

Katanya lagi, walaupun ia adalah isu peribadi tetapi kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa rakyatnya.

Saravanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka, hari ini.

Pada Rabu lepas Saravanan berkata, kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura apabila syarikat di negara itu mula melakukan pemberhentian pekerja akibat penularan Covid-19.

Saravanan telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap nasib kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di negara itu.

Dalam pada itu Saravanan berkata, rakyat di negara ini diminta supaya tidak terlalu memilih pekerjaan.

Sebaliknya mereka perlu merebut apa sahaja peluang pekerjaan yang ada memandangkan pada ketika ini keadaan dunia yang berdepan dengan kelembapan ekonomi disebabkan Covid-19.

“Saya nasihatkan mereka, terima sahajalah peluang kerja yang ditawarkan walaupun ada di antara mereka (golongan profesional) pernah menikmati gaji yang lumayan.

“Tetapi disebabkan keadaan kelembapan ekonomi pada hari ini luar biasa, lebih baik ada pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah daripada tidak ada kerja langsung.

“Dengan pelaksanaan pelbagai program dan kursus yang ditawarkan kerajaan, saya memberi jaminan keadaan akan pulih seperti sedia kala, tetapi ia akan mengambil masa sedikit,” kata Saravanan. – BERNAMA – SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button