Nasional

Tiga maut terhidu gas di loji kumbahan

TIGA lelaki termasuk seorang warga Bangladesh maut selepas terhidu gas sewaktu menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah loji di Pantai Dalam, petang tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.41 petang.

“Sebanyak 40 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Jalan Hang Tuah dan Jalan Tun Razak dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi mendapati enam mangsa yang juga pekerja kontraktor pembersihan telah mengalami masalah pernafasan.

“Masalah pernafasan itu terjadi akibat terhidu gas dari loji kumbahan ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di dalam loji tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari loji sebelum pihaknya tiba manakala empat lagi masih berada di dalam tangki loji tersebut.

Jelasnya, pihaknya juga melakukan kerja-kerja bacaan udara dan pengudaraan di lokasi bagi memastikan keadaan kualiti udara di dalam keadaan selamat.

“Seorang mangsa telah berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital manakala tiga lagi telah meninggal dunia dan melalui proses dekontaminasi sebelum diserah kepada pihak polis,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti jenis gas yang terdapat di dalam tangki tersebut. -SM

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button