Nasional

Tiada Piala Malaysia, JDT juga tidak dibenarkan ke Liga Juara-Juara AFC

RAYUAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengkaji semula penangguhan Piala Malaysia telah ditolak oleh kerajaan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bahaya jangkitan Covid-19 bukan sahaja melibatkan pemain, tetapi juga mereka yang berada di stadium.

“Bola sepak adalah sukan yang melibatkan sentuhan dan risiko jangkitan Covid-19 bukan setakat pada mereka sahaja, tetapi juga melibatkan petugas teknikal yang ikut bersama.

“Mereka akan pergi dan balik menggunakan bas yang sama. Di dalam bilik persalinan juga agak sukar untuk mengawal prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pemain,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Menurut Ismail Sabri, keputusan untuk menangguhkan Piala Malaysia telah diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Jelasnya, kesemua jenis kejohanan juga telah dibatalkan dan ditangguhkan buat masa sekarang.

“Kejohaan bola keranjang, Sukan Malaysia (Sukma) dan semua jenis pertandingan sukan juga telah dibatalkan.

“Saya minta maaf pada semua peminat bola sepak tempatan kerana kita bukan sengaja mahu menangguhkan Piala Malaysia tetapi di atas nasihat daripada KKM,” jelasnya.

Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merayu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu ‘quarantine based’.

Dalam pada itu, pasukan bola sepak JDT yang dijadualkan ke Doha, Qatar untuk menyertai Kejohanan Liga Juara-Juara Asia juga tidak dibenarkan.

Jelas Ismail Sabri, keputusan itu diambil memandangkan pintu sempadan negara masih ditutup dan tiada pergerakan masuk dan keluar negara dibenarkan.

“Kita tidak benarkan kerana polisi pintu sempadan negara yang masih ditutup apatah lagi melibatkan kelompok yang ramai ingin ke luar negara.

“Para Menteri yang mempunyai persidangan dua hala melibatkan negara luar juga tidak dibenarkan ke luar negara dan perkara sama melibatkan pasukan bola sepak,” jelasnya. -SM

(Visited 52 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button