fbpx
Nasional

Terjemahan prinsip Prihatin Rakyat dalam Belanjawan 2021

SEBAGAI kesinambungan kepada usaha untuk menghadapi kesan pandemik Koronavirus (Covid-19), kerajaan bakal menerapkan prinsip Prihatin Rakyat dalam Belanjawan 2021.

Ia selaras dengan usaha kerajaan bagi membantu rakyat dalam menghadapi pandemik selain daripada merangsang pengoperasian semula ekonomi negara.

Justeru, ia dikataka menjadi usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terbela ketika berhadapan dengan situasi sukar.

“InsyaAllah, prinsip Prihatin Rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan.

“Walaupun kerajaan berada dalam situasi sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan.


“Bagi saya scara peribadi sebagai pemimpin kerajaan, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat.

“Kebajikan rakyat mesti diutamakan. Yang susah dibantu. Yang lemah dipapah. Itulah lambang keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

“Saya berikrar untuk menjadikan Prihatin Rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan Perkatan Nasional.”

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 malam tadi.

Sebelum itu, beliau memaklumkan krisis pandemik yang dihadapi seluruh dunia khususnya di negara ini memberi pengajaran yang amat mendalam kepada semua orang.

Ia termasuklah penekanan terhadap aspek seperti amalan kebiasaan baharu, ledakan penggunaan teknologi secara dalam talian dan sebagainya.

Menurut Muhyiddin lagi, pandemik Covid-19 juga menunjukkan keprihatinan dan semangat silaturrahim dalam kalangan rakyat Malaysia dalam membantu sesama sendiri.

“Para frontliners kita bekerja siang dan malam melawan wabak Covid-19 kerana mereka prihatin.

“Para sukarelawan sedia membantu mengagihkan bantuan makanan, menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan lain-lain kerana mereka prihatin.

– Gambar KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

“Saudara dan saudari juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk melindungi diri, keluarga dan orang sekeliling kerana saudara dan saudari semua prihatin.

“Kita rakyat Malaysia prihatin terhadap satu sama lain,” ujarnya.

Terdahulu Suara Merdeka melaporkan sambutan ambang kemerdekaan iaitu detik 12 tengah malam disambut secara sederhana dan unik.

Walaupun tiada aktiviti melibatkan ramai pengunjung, namun semangat patriotik dan menghargai kemerdekaan tetap ditunjukkan.

Malah, walaupun Dataran Merdeka sepi dengan sambutan detik 12 tengah malam 31 Ogos, namun kemeriahan dirasai melalui ucapan rakyat Malaysia dalam media sosial. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button