Politik

Terengganu mundur jika PAS terus tadbir

KATA Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, negeri Terengganu sekiranya mengikut jejak langkah negeri jirannya, Kelantan, yang mundur dalam pelbagai aspek pembangunan, bakal menjadi seperti Kelantan jika PAS terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, perkara itu tidak mustahil apabila mengambil kira ketiadaan sebarang pembaharuan atau kemajuan ketara yang dibawa ke Terengganu sejak PAS merampas negeri itu daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau menegaskan, tiada pembangunan, tiada apa-apa dibawah pimpinan PAS.

“Orang Kelantan tiada masalah sebab mereka boleh cari kerja di Kuala Lumpur. Orang Terengganu, dia tak berapa nak keluar sangat (ke Kuala Lumpur atau ke negeri-negeri lain).

“Jadi, mereka akan menjadi mangsa. Tengok di Kelantan, isu air sudah hampir 30 tahun pun belum selesai,” katanya.

Beliau berkata, pada PRU15 lalu, rakyat beri peluang kepada PAS menang 8-0 (menang semua kerusi Parlimen Terengganu).

“Dan apa rakyat dapat? Tiada Menteri atau Timbalan Menteri dari negeri ini dan tiada peruntukan untuk negeri. Siapa yang rugi? Rakyat rugi tiada pembangunan,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran jentera PRN BN Terengganu, malam tadi.

Ahmad berkata, rakyat Terengganu akan menerima lebih banyak kemudahan jika kerajaan negeri dan kerajaan pusat daripada gabungan parti sama terutama dalam isu menerima peruntukan untuk pembangunan negeri.

“Sebab itulah kita nak rakyat Terengganu bertukar. Dalam PRN kali ini beri semula (mandat) kepada BN.

“Banyak benda kita sudah rancang untuk dibuat…Terengganu bawah PAS dengan dua Menteri Besar dari Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahmad Samsuri Mokhtar), apa orang Marang dapat?

“Kita harap pengundi UMNO sedar perkara ini dan jangan lagi digula-gulakan (dengan politik wang). Sebab kita mahukan pembangunan untuk Terengganu yang ada potensi pelancongan ini,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, menyentuh tentang pengagihan kerusi antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di Terengganu, Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, ia sudah lama selesai namun keputusan akhir belum ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

Terdahulu, Ahmad dilaporkan  oleh media sebagai berkata, rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri untuk 32 DUN Terengganu dalam kalangan parti dalam Kerajaan Perpaduan diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.

Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Ahmad Sabri Ali sebelum ini pula dilaporkan berkata, pihaknya meminta BN mempertimbangkan tujuh kerusi DUN untuk ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN akan datang. – SM

(Visited 115 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button