Terengganu kini Zon Hijau, Tiada lagi kes COVID-19
TERENGGANU kini bebas daripada COVID-19 dan dikategorikan sebagai negeri zon hijau wabak penyakit berjangkit itu, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus.
Katanya, ia susulan perkembangan semasa dan pesakit terakhir positif COVID-19 di Terengganu sudah pun discaj dari hospital, Rabu lalu.
Beliau berkata pesakit berumur 35 tahun yang berasal dari Kemaman itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang pada 20 Mei lalu setelah dikesan positif COVID-19.
“Alhamdulillah, kita tiada lagi kes aktif COVID-19 ketika ini dan saya berharap penduduk terus mengamalkan kebersihan seperti saranan Kementerian Kesihatan dengan kerap mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta menjaga jarak sosial.
“Bagi urusan harian seperti sektor perniagaan pula, teruskan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian seperti mengambil butiran pelanggan, memeriksa suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman di premis masing-masing,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Untuk rekod, Terengganu sebelum ini mencatat 111 kes COVID-19 dengan satu kematian.
Daripada 111 kes itu, daerah Dungun merekodkan kes tertinggi dengan 38 kes, diikuti Besut (35), Kuala Terengganu (18), Setiu (lapan), Kemaman (enam), Kuala Nerus (empat) dan Marang (dua).
Hanya Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang sifar kes COVID-19 di negeri ini.