
Tapak Masjid Diceroboh, Kuil Haram Wujud Tanpa Kelulusan
ISU pencerobohan dan pembinaan struktur tidak sah di atas tanah milik kerajaan kembali menjadi tumpuan selepas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dengkil meluahkan rasa kecewa terhadap pembinaan sebuah kuil di atas tapak yang telah lama diwartakan untuk masjid baharu.
Menurut beliau, tapak berkeluasan 10 ekar itu telah diwartakan sejak tahun 2012 untuk menggantikan masjid lama yang menghadapi kekangan ruang parkir dan tidak lagi mampu menampung jemaah pada hari Jumaat atau musim perayaan.
Namun, selepas lebih satu dekad, tiada pembangunan masjid dilaksanakan. Sebaliknya, kawasan tersebut kini didapati telah diceroboh dan dibangunkan dengan pelbagai struktur tanpa kebenaran, termasuk rumah kediaman, rumah kongsi pekerja binaan, kandang ternakan, dan paling mencetuskan kebimbangan – pembinaan sebuah kuil tanpa kelulusan.

“Penduduk amat kecewa. Masjid yang dijanjikan masih belum dibina, tetapi kuil pula sudah tegak berdiri. Ini bukan isu perkauman atau sentimen agama, tetapi berkaitan perundangan dan keadilan kepada penduduk asal,” kata Pengerusi JPKK itu ketika ditemui media.
Tambah beliau, siasatan awal Pejabat Tanah mendapati tanah tersebut adalah milik kerajaan dan tidak pernah diwartakan sebagai milik mana-mana komuniti lain, termasuk Orang Asli seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Beliau turut mempersoalkan keengganan beberapa agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk bertindak terhadap pencerobohan yang semakin berleluasa.
“Jika tiada tindakan segera, ini boleh mencetuskan ketegangan antara komuniti. Kami hanya mahukan keadilan – hormati keputusan kerajaan negeri terdahulu yang telah mewartakan tanah itu untuk masjid,” tegasnya lagi.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JAIS atau pihak berkuasa tempatan mengenai isu ini.
Insiden ini sekali lagi membuka persoalan besar mengenai kelemahan penguatkuasaan undang-undang terhadap struktur haram dan keperluan untuk menyegerakan pembangunan projek yang telah dirancang sejak sekian lama demi kepentingan rakyat.