Nasional

PM Anwar komited untuk selesai projek terbengkalai Sekolah Sukan Perlis

KANGAR: Perdana Menteri memberi komitmen untuk menyelesaikan projek Sekolah Sukan Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu akan diuruskan semula dengan bajet sekucup untuk menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perlis petang ini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat.

Hadir sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Anwar selepas itu ke Pejabat Pembangunan Negeri Perlis untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama Menteri Besar dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

Dalam mesyuarat ini, beliau tegaskan negara mesti membina kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi untuk menghadapi ketidaktentuan geopolitik, termasuk kesan dasar tarif Amerika Syarikat. Jentera Kerajaan di semua peringkat perlu segera mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa lagi dibelenggu kerenah birokrasi.

“Saya arahkan agensi-agensi memperketat pemantauan projek, dan tidak teragak-agak menghukum pihak yang melengahkannya hingga menjejaskan rakyat.

“Menteri Besar Perlis kemudiannya membentangkan beberapa keutamaan pembangunan negeri, meliputi infrastruktur asas seperti jalan raya, kawalan banjir, pelancongan, pelabuhan dan pendidikan,” katanya.

Antara projek yang dibangkitkan, ujar Anwar termasuk pembangunan pelabuhan Sanglang, pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping, penyelesaian projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis, dan naik taraf kolam takungan banjir Chuping.

“Mengambil kira kepentingannya, saya arahkan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping dimulakan tahun ini, manakala projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu perlu segera diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan.

”Jentera Kerajaan Persekutuan dan Negeri harus berani berfikir di luar kerangka lama untuk memecah kebuntuan, mempercepat penyelesaian masalah rakyat, dan membina benteng ekonomi yang berdaya tahan, sekali gus mengangkat martabat rakyat dan negara di persada dunia,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button