
Amyra Rosli tak dapat tahan sebak berpisah dengan Amar Baharin
PADANG BESAR: “Sebelum banjir dengan air mata, setakat ini dahulu,” kata Amyra Rosli.
Amyra diminta berucap sebelum pelepasan suaminya Amar Baharin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang berkayuh basikal ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Menurut Amyra dia tidak pernah berpisah lama dengan suaminya.
Memulakan misi berbasikal ke Makkah dari Padang Besar, Perlis, semalam, Amar Baharin dan sahabatnya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin berharap program #JourneyToTanahHaram dipermudahkan.
Amar atau nama penuh, Amar Mohd Baharin, 40, berjanji akan berkongsi perkembangan perjalanan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian destinasi dikunjungi.
“Kami memohon doa daripada semua termasuk peminat agar kembara ini lancar dan dipermudahkan segala-galanya. Saya akan beritahu perkembangan misi ini setiap hari melalui laman web www.qanda.my,” katanya, lapor Berita Harian.
Ketika dihubungi petang semalam, Amar dan Qobin sudah tiba di HatYai, Thailand.
Amar dan Qobin berlepas dari Padang Besar pada jam 9 pagi. Acara pelepasan itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Amar bersyukur selamat tiba di Hat Yai selepas empat jam berkayuh.
“Untuk hari pertama, Alhamdulillah perjalanan lancar walaupun panas’,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Menerusi laman sosial, Amar dan Qobin berkongsi serba sedikit mengenai kembara berkayuh ke Makkah. Tidak ketinggalan, isteri Amar, iaitu Amyra Rosli, turut mendoakan keselamatan suaminya.
“Semoga selamat sampai,” tulis Amyra ringkasdi Instagram Story (IGs) yang dimuat naik, pagi semalam.
Baru-baru ini, Amar dilapor mengumumkan terpaksa menukar laluan perjalanan susulan konflik di sempadan India dan Pakistan ketika ini. Amar berkata, penukaran laluan perjalanan itu dilakukan atas faktor keselamatan.
“Saya anggap semua yang berlaku adalah aturan Allah SWT kerana Dia sebaik-baik perancang. Kami dimaklumkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bahawa keadaan di India dan Pakistan adalah tidak selamat untuk dilalui untuk misi ini.
“Jadi, kami terpaksa ‘re-route’ (menukar laluan) atas faktor keselamatan. Laluan terbaharu akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Sebelum ini, Amar memaklumkan akan menyertai misi kayuhan ke Makkah sejauh 8,000 kilometer (km).
Amar dan Qobin yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia, memulakan kayuhan dari Perlis sebelum merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran sebelum tiba di Arab Saudi. Mereka dijangka tiba di Madinah pada Julai depan.
Qobin berkata perjalanan kali ini bukan untuk mencatat rekod, tetapi lebih kepada perjalanan rohaniah.
Mereka merancang untuk menunaikan umrah, namun jika berpeluang mereka akan menunaikan haji.
Mereka berdua mengucap terimakasih kepada semua yang berdoa dan memberi sokongan.
FOTO: