Acara

Raja Perlis titah penjawat awam, anggota keselamatan tanam nilai perpaduan, integriti, profesional dan proaktif semasa berkhidmat

KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar rakyat, terutamanya para penjawat awam dan anggota Tentera Darat Malaysia, terus menanamkan nilai perpaduan, integriti, profesionalisme dan sikap proaktif dalam berkhidmat untuk negara. Budaya mementingkan diri dan berpeluk tubuh perlu dikikis demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Saya merupakan antara Raja Melayu yang terawal menerima pendidikan ketenteraan secara formal dan seterusnya berkhidmat sebagai seorang anggota tentera. Sesungguhnya pengalaman berkhidmat sebagai anggota tentera dalam memastikan keamanan negara memberikan saya kesedaran dan semangat untuk memastikan negara ini terus maju, aman dan kekal berdaulat”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Sisipan Tentera Darat Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat sama adalah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Panglima 2 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Hj. Fazal Hj. Abdul Rahman dan Pengerusi Rejimen Renjer Diraja, Brigedier Jeneral Shamshor Hj. Jaafar.

Baginda yang juga merupakan Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja turut menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan perbarisan yang mempamerkan kegagahan, kesiapsiagaan dan semangat mempertahankan tanah air oleh para perwira, bintara dan perajurit Rejimen Renjer Diraja serta menyifatkan kehadiran rakyat jelata dari pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan semangat kasih dan taat setia terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Istiadat Perbarisan Mengarak Panji Panji Rejimen Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja itu dimulakan dengan arahan Hormat Diraja, disusuli laporan oleh Ketua Perbarisan, diteruskan dengan persembahan ketenteraan penuh istiadat meliputi Melambung Tongkat dan Menghunus Pedang, Perbarisan Berjalan Laju dalam masa perlahan dan cepat serta Perbarisan Mara Mengadap ke Pentas Diraja.

Istiadat perbarisan ini melibatkan penyertaan anggota tentera yang mewakili sembilan daripada sepuluh pasukan di bawah Rejimen Renjer Diraja yang berpangkalan di seluruh negara.

Bagi memeriahkan lagi segmen siang, turut diadakan pertunjukan Free Fall Airborne, persembahan Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja, serta Pameran Diraja yang mengetengahkan sejarah dan tradisi ketenteraan yang penuh gemilang.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan dan menandatangani Plaka Setem Peringatan Pos Malaysia, bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda semasa sesi lawatan ke Pameran Diraja.

FOTO

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button