
Pembangunan negara harus berteraskan nilai dan akhlak
KANGAR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia harus membangun dengan rancak dan segar berasaskan nilai serta akhlak.
Beliau berkata, dalam hal ini, kerajaan memperkenal konsep Madani yang membawa sedikit kelainan agar pembangunan yang dilakukan berbeza dengan kefahaman dan ideologi lain.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025 di sini malam ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Anwar juga berkata, penguasaan al-Quran menjadi asas untuk mengangkat martabat umat Islam di Malaysia dalam membina tamadun dan negara Madani.
Pada masa sama, beliau berkata penguasaan bahasa, digital dan kecerdasan buatan harus diberi tumpuan bagi mengelakkan umat Islam ketinggalan dalam bidang terbabit.
“Saya ingin mengingatkan dan menyeru rakan-rakan yang mempunyai keupayaan menyampaikan ilmu, ingatlah bahawa cabaran kita terlalu rumit dan umat Islam perlu melakukan sesuatu yang lebih segar, lebih dinamik serta lebih berani,” katanya, lapor Bernama.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025, yang menyaksikan penglibatan 109 peserta, berlangsung mulai hari ini hingga 2 Mei di Dewan 2020 di sini.
Sementara itu dalam hantaran ke media sosial Perdana Menteri menggesa teman-teman yang punya kemampuan dan para asatizah untuk bersama memupuk kesedaran baharu dalam kalangan umat.
“Kita perlu mempertingkat penguasaan al-Quran sebagai asas mengangkat maruah umat dan terus menggali hikmah untuk menjawab persoalan serta cabaran zaman pasca normal, di mana kebenaran dan hak dianggap relatif.
“Kita harus mencabar minda umat melalui taffaquh fiddin yang segar bagi menghadapi kondisi ‘malaise’ yakni keletihan jiwa yang menuntut jawapan berasaskan kekuatan ilmu dan keutuhan nilai. Tantangan kita adalah sejauh mana umat mampu membina kekuatan berasaskan ‘Din’ (agama) kepada Madinah (kota) dan seterusnya tamadun dalam membangun negara MADANI.
“Saya turut singgung pengalaman pendakwah di Alam Melayu sebagaimana direkodkan dalam Babad Tanah Jawi mengenai peranan unik Wali Songo serta catatan Ibnu Battutah di Perlak yang menzahirkan kepentingan pendekatan dakwah penuh hikmah dalam menyampaikan esensi Islam secara tasamuh agar umat tidak berpecah dan bermusuh,” katanya.
Kata beliau, umat meletakkan pengharapan yang tinggi untuk melakukan pembaharuan dalam berdepan cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam sama ada di dalam atau luar negara.
Makanya, ujar Perdana Menteri, semua perlu membina kekuatan dalaman, bukan sekadar kekuatan akidah dan akhlak, bahkan daya tahan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang.
“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh taffaquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang agar hasrat membangun umat dan negara dapat dicapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar,” katanya.