
Lebih 10,000 hadiri Rumah Terbuka Madani Negeri Perlis
KANGAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam hadir ke Dataran Lok 9, Kuala Perlis bersama lebih 10,000 warga Perlis pelbagai kaum memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Perlis.
Perdana Menteri mengucapkan terima kasih atas sambutan luar biasa dan penuh semangat kekeluargaan.
Beliau juga menzahirkan setinggi penghargaan atas kesudian Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, serta Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bercemar duli ke majlis ini.
“Perlis menjadi negeri terakhir dalam rangka kunjungan Ramadan dan Syawal saya tahun ini, memperkukuh iltizam kita untuk memberi sepenuh perhatian kepada keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
“Sewaktu berucap, saya zahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mempererat sinergi bersama Kerajaan Negeri bagi memperkasa agenda pembangunan, memperkukuh kesejahteraan sosial serta mempertingkatkan daya saing ekonomi setempat.
“Saya menegaskan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, tiada mana-mana negeri dianaktirikan dalam agenda pembangunan ekonomi hanya kerana perbezaan siasah.
”Ini termasuk Perlis, yang menyaksikan peningkatan ketara pemberian langsung Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yakni sekitar 25 peratus, daripada RM168.4 juta pada 2022 kepada RM210.6 juta pada tahun lalu. Peruntukan pembangunan negeri turut meningkat sehingga 65 peratus daripada RM391.91 juta pada 2022 kepada RM645.58 juta tahun lalu,” katanya.
Menyentuh perkembangan geopolitik semasa, khususnya terkait tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, Anwar memaklumkan mengenai Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei depan bagi membicarakan tindakan-tindakan Kerajaan dalam mendepani isu ini, di samping menghimpunkan seluruh kekuatan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Insya-Allah, dengan iltizam yang teguh dan penuh keyakinan, kita akan membawa Perlis dan seluruh negara ke arah masa depan yang lebih sejahtera dan makmur,” katanya.
GALERI