Acara

PM Anwar mengadakan kunjungan sembah mengadap Raja Perlis

KANGAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan sembah mengadap ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar tengahari tadi.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Anwar merafak sembah ucapan tahniah kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda pada 17 April 2025 baru-baru ini.

Tuanku Raja dan Anwar bertukar pandangan tentang pelbagai perkembangan semasa dalam dan luar negara serta isu-isu pembangunan dan kesejahteraan melibatkan negeri Perlis dan rakyatnya khususnya dalam aspek hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan juga Negeri.

Perdana Menteri selepas majlis sembah mengadap tersebut mempunyai program padat di negeri Perlis bagi manghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Negeri, menghoskan majlis Sambutan Aidilfitri Madini, serta merasmikan Tilawah Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Dewan 2020 Kangar pafa sebelah malamnya, demikian menurut kenyataan media Istana Arau.

Sementara itu Perdana Menteri dalam hantaran ke media sosial berkata, beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar tengah hari tadi untuk lawatan kerja dan menghadiri beberapa agenda di Perlis sepanjang hari ini.

“Usai tiba, saya langsung ke Kangar untuk menghadap DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

“Saya menyembah maklum perkembangan terkini berhubung perancangan pembangunan ekonomi negeri Perlis, di samping bertukar pandangan terkait hal ehwal kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.

”Penghargaan setingginya atas perkenan Tuanku menerima patik menghadap. Mendoakan keafiatan berpanjangan buat Tuanku, Insya-Allah,” kata beliau.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button