Tangkap mereka yang guna pencuci lantai sebagai pembersih tangan
Tindakan tegas akan diambil terhadap premis yang menggunakan sabun pencuci lantai sebagai pengganti pembersih tangan (hand sanitizer).
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbuatan itu adalah sesuatu yang membahayakan kesihatan pengguna.
“Perkara yang berlaku ini adalah satu kes penipuan dan sesuatu yang berbahaya. Kita boleh arahkan polis untuk tangkap dan mengambil tindakan kepada mereka.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan tindakan sebegini kerana ini sesuatu yang membahayakan masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Dalam pada itu, Ismail turut memberi jaminan yang bekalan makanan dalam negara masih mencukupi walaupun pekerja asing tidak dibenarkan masuk ke dalam negara.
Jelasnya, pihaknya sentiasa mendapat maklumat terkini daripada Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian yang sentiasa memantau pengeluaran dan bekalanan makanan. -SM