Nasional

Tak tahu bukan alasan wanita positif Covid-19 dikompaun RM1,000 hadir ke pusat mengundi

BUKAN sahaja malang tapi tak terbaloi sungguh apabila dikenakan kompaun RM1,000 oleh Inspektor Kesihatan disebabkan masih dalam tempoh kuarantin tetapi pergi ke pusat mengundi untuk mengundi.

Itulah nasib yang menimpa seorang pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin hari ini apabila dia dikenakan kompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin selepas positif Covid-19.

Tindakan itu diambil oleh Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru setelah membuat pemeriksaan aplikasi MySejahtera milik wanita berusia 30an itu yang menunjukkan tanda merah semasa dia tiba di Dewan Kampung Melayu Majidee untuk mengundi.

Wanita itu berkata, dia tidak mengetahui individu yang masih menjalani kuarantin setelah didapati positif Covid-19 adalah dilarang hadir untuk mengundi.

Kata wanita itu, telah berlaku salah faham setelah orang terdekatnya memberitahunya bahawa individu masih boleh mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin.


Dalam pada itu, Inspektor Kesihatan Mohd Azrul menjelaskan kepada wanita itu bahawa semua individu yang positif Covid-19 tidak boleh keluar mengundi.

Kata Mohd Azrul, mana-mana individu yang positif Covid-19 wajib menjalani kuarantin dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebagai individu yang didapati positif, awak tidak boleh keluar rumah langsung, apatah lagi untuk keluar mengundi di pusat mengundi melainkan rumah di dalam pusat mengundi.

“Kami menawarkan kompaun sejumlah RM1,000 dan awak perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam tempoh masa 14 hari,” katanya ketika menerangkan situasi itu kepada ibu wanita terbabit.

Inspektor Kesihatan itu turut mengarahkan wanita terbabit segera pulang ke rumah selepas mengeluarkan kompaun tersebut. – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button