Nasional

Tahun 2019 rungkai punca sebenar kematian Muhd Adib, Selangor hadapi empat gangguan air berskala besar

Tahun 2019 merungkai punca sebenar kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang Jaya, dekat sini pada Nov 2018.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan berkenaan dan meninggal dunia selepas 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun, punca kematian anggota bomba itu dieksploitasi pelbagai pihak menyebabkan prosiding inkues bagi menentukan punca sebenar kematiannya dijalankan di Mahkamah Koroner di sini.

Selepas 41 hari prosiding bermula 11 Feb hingga 24 Julai lepas, mahkamah memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua hingga tiga individu tidak diketahui.

Keputusan itu dibuat Koroner Rofiah Mohamad selepas 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberikan keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan dan pelbagai hujahan dilontarkan pihak terlibat sepanjang prosiding berkenaan.

Keputusan inkues itu amat dinanti oleh keluarga Muhammad Adib dan seluruh rakyat Malaysia yang rata-rata berpuas hati susulan kematian anggota bomba yang diangkat sebagai ‘Wira Merah’ negara itu mendapat liputan meluas kerana terkorban ketika menjalankan tugas murni untuk membantu masyarakat.

Bagi keluarga Muhammad Adib, walaupun keputusan inkues akhirnya membuktikan kematian anggota bomba itu akibat perbuatan jenayah, namun mereka mengharapkan pelakunya dapat diheret ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, tahun 2019 juga menyaksikan Selangor berdepan beberapa insiden gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar yang bukan saja menjejaskan aktiviti jutaan penduduk di negeri itu serta kawasan sekitarnya tetapi membabitkan kerugian dalam pelbagai sektor susulan kebergantungan terhadap bekalan berkenaan.

Insiden pertama berlaku pada 4 Mei lepas iaitu pada bulan Ramadan apabila tiga paip utama di tapak projek Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping di Bandar Bukit Raja, Klang pecah menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di daerah itu terputus bekalan hampir 10 hari sebelum pulih sepenuhnya pada 14 Mei.

Penduduk di Selangor dan kawasan sekitarnya diuji untuk kali kedua pada 21 Julai lepas apabila 1,133 kawasan melibatkan 1.1 juta akaun pengguna pula terjejas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang pula terpaksa dihenti tugas ekoran pencemaran diesel.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa melibatkan campur tangan polis susulan pencemaran itu dikesan akibat tumpahan daripada pontun di sungai itu yang disyaki dilakukan oleh individu tertentu.

Susulan itu, PDRM menahan dua lelaki yang merupakan pengusaha dan pekerja pontun di sungai berkenaan pada 25 Julai bagi membantu siasatan iaitu hari sama gangguan bekalan air tidak berjadual itu pulih sepenuhnya.

Gangguan seterusnya berlaku pada 28 Sept lepas ekoran pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih menyebabkan loji rawatan air terpaksa dihenti tugas hingga menjejaskan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di 204 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pencemaran itu disyaki berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa tidak dibenarkan ke dalam sistem pembentungan dan perkara itu berada di luar kawasan pentadbiran Air Selangor.

Susulan itu, kerajaan Selangor mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pendosan “activated carbon” selain kehadiran hujan lebat yang mendorong kepada penurunan bau di Sungai Semenyih dan usaha ini memulihkan operasi LRA yang dihenti tugas selama 13 jam 30 minit.

Gangguan bekalan air berskala besar untuk kali keempat yang boleh disifatkan ‘penutup’ 2019 berlaku pada 21 Dis lepas menyebabkan 328,957 akaun pengguna melibatkan 366 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Gangguan berlaku ekoran pelupusan sisa buangan haram dengan pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, dekat sini menyebabkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan kejadian gangguan air tidak berjadual terutamanya melibatkan pencemaran sungai sepanjang tahun ini masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak seburuk disangka.

Sementara itu, pemberian 20 meter padu air percuma yang dinikmati rakyat Selangor sejak 2008 bakal berakhir pada 1 Mac tahun depan, apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melakukan penjajaran semula subsidi agar ia lebih bersasar dan tidak membebankan kewangan kerajaan negeri.

Perkara itu mendapat respon pelbagai pihak termasuk rakyat di negeri ini apabila program yang dijenama semula sebagai Skim Air Darul Ehsan itu akan hanya akan dinikmati oleh golongan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan atau golongan B40.

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020 berkata dengan penjajaran berkenaan dianggarkan seramai 65 peratus daripada 1.6 juta pemegang akaun akan menikmati subsidi air berkenaan dan sekaligus mengurangkan tekanan terhadap kewangan kerajaan negeri.

Menurut Amirudin lagi, sebanyak RM1.8 bilion sudah dibelanjakan bagi melaksana Program Pemberian Air Percuma setakat 31 Disember 2018, manakala sepanjang 2019 pula, kos pelaksanaannya terus meningkat sehingga mencecah RM220 juta dan dianggap sebagai tidak mampan untuk diteruskan.

Kerajaan negeri terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan penjajaran semula subsidi berkenaan supaya ia memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan sahaja.

Menurut rekod, kos air percuma meningkat setiap tahun sejak ia dilaksanakan dimana pada 2008, kerajaan negeri membelanjakan RM68 juta, sebanyak RM131 juta dibelanjakan pada 2009, bagi 2014 sebanyak RM167 juta, sebanyak RM179 juta (2016) dan pada 2017 sebanyak RM187 juta.

— BERNAMA

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button