Nasional

Ujian poligraf terhadap tujuh saksi utama kes kematian Muhammad Adib

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan ujian poligraf terhadap tujuh saksi utama yang sebelum ini dipanggil bagi membantu siasatan kematian anggota bomba dan penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan ujian poligraf berkenaan.

Beliau berkata tujuh saksi berkenaan merupakan saksi lama yang berada di lokasi kejadian kemalangan ke atas Muhammad Adib.

“Kami telah mendapatkan kerjasama pihak SPRM dan telah membuat analisa video kemalangan itu. SPRM memberi cadangan beberapa saksi perlu dipanggil semula untuk ujian poligraf bagi menentukan mereka bercakap benar atau sebaliknya,” katanya pada sidang media harian PDRM di Bukit Aman.

Huzir berkata seramai 30 saksi memberi memberi keterangan ketika inkues dijalankan.

“…28 daripada saksi itu pernah dirakam percakapan sebelum ini manakala dua doktor pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur sudah tampil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan, hari ini,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Huzir berkata pihaknya akan memanggil dua lagi saksi iaitu pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani dan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof. Dr Shahrom Abd Wahid bagi membantu siasatan.

Pada 27 Sept lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Dalam kejadian pada 27 Nov tahun lepas, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis tahun lepas di Institut Jantung Negara.- BERNAMA

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button