Syed Saddiq disiasat 11 jam: Najib sindir Amanah Teoh Beng Hock
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi (Amanah TBH) kerana mengkritik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung siasatan terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengambil masa selama 11 jam semalam.
Najib berkata, badan bukan kerajaan itu hanya bersuara apabila pemimpin Pakatan Harapan dikenakan tindakan.
Namun NGO itu hanya berdiam diri apabila SPRM melakukan tindakan yang sama ketika era pemerintahan Pakatan Harapan.
“Oh.. macam ni, ya? Apabila terkena batang hidung PH sendiri maka sesi soal siasat SPRM merupakan “satu bentuk penderaan kerana ia mewujudkan tahap tekanan yang tinggi dan menjejaskan kesihatan mental serta membenarkan penyalahgunaan kuasa ketika dalam tahanan”
“Kumpulan pro-DAP Teoh Beng Hock.kata ini melanggar hak asasi manusia sejagat. Kenapa korang tak sebut masa PH jadi kerajaan?” tanya Najib.
Media melaporkan pengerusi Amanah TBH, Ng Geoh Chee menyifatkan tindakan SPRM sebagai ‘penderaan psikologi’.
“Kami menegaskan bahawa soal siasat yang tidak perlu dan panjang adalah satu bentuk penyeksaan psikologi kerana menimbulkan tekanan yang luar biasa, membahayakan kesihatan mental seseorang dan memungkinkan penyalahgunaan kuasa ketika dalam tahanan.
“Soal siasat yang panjang melanggar hak setiap orang untuk beristirehat seperti yang dinyatakan dalam artikel 24 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ketika era pemerintahan Pakatan Harapan, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor disoal siasat selama 13 jam oleh SPRM.
SPRM mengambil masa 9 jam menyoal siasat anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz. Najib sendiri pernah disoal siasat oleh SPRM selama tujuh jam berturut-turut.
Ketika itu tiada mana-mana NGO tampil mengkritik tindakan SPRM terhadap tempoh siasatan terhadap ahli keluarga Najib tersebut.
Tabung Amanah Teoh Beng Hock ditubuhkan pada 16 Julai 2014 selepas lima tahun kematian Teoh Beng Hock di pejabat SPRM di Shah Alam, Selangor.
Teoh merupakan pembantu kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ketika ditangkap dan disoal oleh SPRM di pejabatnya di Plaza Masalam. Keesokan harinya, Teoh ditemui mati di tingkat 5 bangunan itu.-SM