Nasional

Syarikat diminta tampil salur kelengkapan untuk petugas barisan hadapan di Sabah

TIMBALAN Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meminta pengusaha syarikat di negeri ini tampil menyalurkan bantuan kelengkapan kepada petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19.

Beliau berkata buat masa ini peralatan perlindungan diri (PPE) serta penutup hidung dan mulut masih tidak mencukupi dan diperlukan oleh petugas kesihatan di hospital.

“Untuk makluman, penutup hidung dan mulut serta alat perlindungan lain hanya boleh digunakan sekali untuk setiap operasi. Sekiranya terdapat tujuh operasi dalam satu hari, maka setiap petugas yang terlibat menggunakan tujuh set PPE dan penutup hidung dan mulut.

“Sehubungan itu, bekalan untuk kelengkapan perlindungan ini perlu sentiasa ada bagi mengelakkan barisan hadapan khususnya petugas kesihatan dijangkiti COVID-19,” katanya.

Madius berkata demikian ketika menyaksikan penyampaian bantuan penutup hidung dan mulut serta PPE dari Syarikat Wizi Superior Glove (Malaysia) Sdn Bhd kepada Hospital Tuaran, Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKK), di sini, hari ini.

Madius berkata usaha syarikat Wizi Superior Glove wajar dicontohi syarikat-syarikat lain.

Katanya walaupun syarikat yang berpangkalan di Kanada itu baru sahaja melabur di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP),  tetapi mereka telah tampil memberi bantuan.

“Syarikat ini yang merupakan perusahaan sarung tangan bagi tujuan perindustrian dan dikendalikan oleh seorang warganegara China, telah berinisiatif mendapatkan bekalan PPE dan sebagainya dari negara China dan menghantar ke negeri ini menggunakan kapal laut.

“Mungkin bantuan ini kelihatannya tidak seberapa tapi ia cukup membantu bagi petugas kesihatan pada masa kini yang sentiasa memerlukan kelengkapan perlindungan untuk menjalankan tugas,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sebanyak 250 PPE dan 500 penutup hidung dan mulut telah disumbangkan Syarikat Wizi Superior Glove untuk kegunaan tiga hospital berkenaan. — BERNAMA

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button