Politik

Dr. Dzulkefley yang tak pandai menari, lantai pula dikatanya terjungkit

ISHH! Ishh kenapalah pula bekas menteri kesihatan menyalahkan bekas menteri dalam negeri yang kini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kononnya membenarkan perhimpunan ijtima’ tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 2 Mac lalu?

Adakah Datuk Seri Dr. Dzulkefley Ahmad nak jadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘punching bag’ konon menjadi punca penularan wabak Covid-19 akibat himpunan tabligh tersebut?

Difahamkan, permohonan untuk perhimpunan ijtima’ tabligh itu dibuat oleh penganjurnya melalui surat bertarikh 16 Januari 2020.

Jumlah kehadiran yang banyak disebut orang ialah seramai sekitar 16,000 walaupun yang agak sahih sekitar 12,500 hadirin.

Daripada 12,500 orang yang hadir, sejumlah 1,600 orang adalah tetamu yang datang dari luar negara. Ini bermakna jumlah kehadiran orang tempatan ialah sekitar 11,000 orang.

Ini termasuklah peserta ijtima’ yang merupakan warganegara Malaysia dan menyertai ijtima’ keseluruhannya. Selain itu, peserta ijtima’ yang ‘walk-in’ pada Sabtu malam saja;
mereka yang berkhidmat ketika ijtima’ serta warganegara asing yang menetap di negara ini (Rohingya, Myanmar dan Bangladesh).

Kelulusan mengadakan perhimpunan tabligh ini telah diberikan oleh pihak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 12 Februari walaupun pada 7 Februari, Singapura telah menaikkan status ancaman Covid-19 ke tahap berbahaya.

Bahkan, pada 11 Februari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran keras bahawa virus Covid-19 berada di persimpangan yang cukup kritikal.

Tetapi malangnya, amaran WHO dan juga contoh tindakan Singapura dalam menghadapi wabak ini tidak dihiraukan oleh Kerajaan PH kerana sehari selepas amaran WHO ini, surat kelulusan dikeluarkan untuk perhimpunan tabligh tersebut.

Sejak 25 Januari 2020 hingga 1 Mac 2020, sepatutnya Kerajaan PH mula menyekat pintu masuk negara daripada rakyat China sebagai langkah utama kepada kawalan keselamatan penyakit ini daripada merebak.

Namun, pada waktu itu, pihak kerajaan masih merasakan tindakan ini merugikan negara dari sektor ekonomi.

Contohnya, sejak dari Januari 2020 lagi, beberapa pemimpin kerajaan iaitu Menteri Pelancongannya telah mula membuat kenyataan untuk menyokong kemasukan pelancong-pelancong daripada China (Berita Harian, 22.01.2020). Ia walaupun pada waktu itu, kes Covid-19 ini telah mula merebak ke seluruh China dan dunia.

Malah, Dr. Dzulkefley pada waktu itu juga bersetuju dengan mengatakan pelancong-pelancong ini yang datang adalah mereka yang sihat-sihat belaka.

Menteri Pengangkutan PH pula tidak menyekat kapal-kapal persiaran dan kargo yang masuk ke Malaysia (Sinar Harian, 12.02.2020).

Bahkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga menyokong agar tiada sekatan diadakan terhadap kemasukan rakyat China ke Malaysia (Sinar Harian, 21.02.2020). Walhal kebanyakan negara lain telah menyekat secara sepenuhnya.

Sebab itu rakyat amat merasakan bahawa Kerajaan PH mengambil sikap sambil lewa dan mudah terhadap penyebaran Covid-19 ini dengan kemasukan pelancong daripada China mengeruhkan lagi keadaan di Malaysia.

Padahal juga pada masa sama beberapa negara terutama kalangan ASEAN sudah pun menutup pintu masuk ke negara masing-masing, terutama kepada pelancong dari negara-negara yang sudah dijangkiti wabak ini.

SUARA MERDEKA senaraikan kenyataan pemimpin PH berikut untuk renungan kita bersama siapa agaknya yang membuat onar sehingga membenarkan perhimpunan tabligh berkenaan:

1) KENYATAAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
25 JANUARI 2020 – Lapor Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengkaji semula pemberian visa 15 hari kepada rakyat China walaupun timbul kebimbangan mereka turut terjangkit dengan koronavirus atau 2019-nCoV, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, rakyat asing yang ingin memasuki negara ini akan melalui pemeriksaan yang ketat sebagai usaha mengekang penularan penyakit itu.

“Pada ketika ini belum lagi, tetapi kita periksa kesemua pelancong yang datang ke negara ini, terutamanya dari China,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Selangor (DPCKLS) di Kuala Lumpur.

2) KENYATAAN DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
31 JANUARI 2020 – Lapor MetroTV

PUTRAJAYA: “Kita tidak menggalakkan tetapi tidak pula kita kata sekat.

“Sebaik keperluan dan kepentingan itu mendesak, kita akan lakukan tindakan.”
Itu kata Dr Dzulkefly berkaitan lawatan antara dua negara Malaysia dengan China susulan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) dalam sidang media di Putrajaya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini dipetik berkata, penangguhan penerbangan antara dua negara tetap dalam kajian dan tindakan diambil nanti mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

3) KENYATAAN DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
2 FEBRUARI 2020 – Lapor Berita Harian

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meminta rakyat tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di beberapa negara termasuk Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu boleh menimbulkan suasana panik dan akan lebih memburukkan keadaan.

“Saya juga nak kongsi di sini bahawa saya telah pergi melawat petugas barisan hadapan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), klia2, Kementerian Kesihatan dan semua yang terbabit. Kita terhutang budi kepada mereka kerana ambil risiko yang tinggi.

“Jadi janganlah keluarkan berita dan perkara tidak betul. Sama-samalah kita bantu tangani masalah ini kerana kita bukan boleh berseorangan menghadapi wabak ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (INSAF) di sini, malam ini.

4) KENYATAAN ANTHONY LOKE
13 FEBRUARI 2020 – Lapor Harian Metro

– RAKYAT tidak perlu khuatir dengan kemasukan pelancong asing melalui pelabuhan berikutan terdapat dua saringan kesihatan yang dilakukan ke atas semua pelancong susulan penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rakyat tidak perlu panik dan takut walaupun kerajaan masih membenarkan kapal persiaran masuk ke negara ini.

“Bagi prosedur kapal, sebelum masuk, senarai lengkap penumpang sudah diberikan kepada pihak berkuasa iaitu operator dan lembaga pelabuhan, jadi kita tahu maklumat setiap kapal.

“Dalam prosedur atau kapal juga, kesihatan mereka sudah pun diperiksa sebelum turun, jika ada simptom sakit atau demam, mereka akan dikuarantin di atas kapal dan tidak akan dibenarkan masuk.

“Kita juga ada pemeriksaan kedua, iaitu pengimbas suhu, jika suhu pelancong meningkat mereka tidak boleh masuk kerana hanya mereka yang sihat dan tiada sebarang simptom sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Center di Pelabuhan Klang.

5) KENYATAAN DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
21 FEBRUARI 2020 – Lapor Sinar Harian  (BACA SINI)

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan terhadap kemasukan rakyat China ke negara ini berikutan wabak Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Berhubung Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.

“Kita ada bincang, tetapi kita putuskan untuk tidak sekat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan memperketatkan kawalan terhadap pelancong dan pelajar China di pintu masuk utama negara.

“Kita akan mempertingkatkan kawalan dengan melakukan ujian saringan termasuk swab test ke atas mereka bergejala.

”Sekiranya tidak bergejala, mereka akan diperintah menjalani pengawasan di rumah,” katanya.

Jadi, masihkah Dr. Dzulkefley mahu tuding jari terhadap Perdana Menteri? – SM

(Visited 279 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button