Sukan

Sultan Johor rasmi Stadium Sultan Ibrahim

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi berpindah ke stadium baharu pasukan itu, Stadium Sultan Ibrahim di sini, selepas upacara perasmiannya disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam ini.

Sultan Ibrahim berkenan menandatangani plak perasmian stadium yang mula dibina pada 2016 dan siap sepenuhnya tahun ini dengan kos bernilai RM200 juta itu.

Turut berangkat ke upacara itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim.

Tunku Ismail menerusi kenyataan akhbar yang diedar kepada media bertitah, pembukaan stadium itu merupakan satu lagi lembaran baharu dalam sejarah kelab berkenaan.

“Tujuh tahun terakhir ini cukup hebat di dalam mahupun luar padang untuk JDT dan pembukaan Stadium Sultan Ibrahim ini menandakan satu lagi sejarah buat skuad Harimau Selatan.

JDT telah berkembang pesat sejak penubuhan kelab pada tahun 2013 dan hari ini kami telah berjaya mengatasi norma biasa dalam bola sepak Malaysia.. (dan kami) sering berusaha mencipta penanda aras baharu yang semestinya meningkatkan standard dan mencabar batasan di peringkat antarabangsa,” titah Tunku Ismail.

Sementara itu, upacara perasmian stadium itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi antarabangsa, Leona Lewis dan dua artis anak kelahiran Johor, Ayai serta Akim, disusuli persembahan bunga api.

Orang ramai mula membanjiri stadium berkenaan seawal 3 petang bagi menanti upacara  perasmian  selain menyertai karnival yang dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan dan aktiviti-aktiviti menarik.

Terletak di kawasan seluas 28 hektar dan turut menempatkan ibu pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim merupakan satu-satunya stadium bola sepak di dalam negara yang menggunakan padang rumput asli iaitu rumput ‘Zeon Zoysia’ yang sudah diuji dan mempunyai sistem pengaliran yang mampu menghindarkan air daripada bertakung di dalam padang.

Ia juga mampu menampung lebih 35,000 penonton, selain itu juga dilengkapi dengan lampu sorot diod pemancar cahaya (LED) moden dan lampu bangunan pelbagai ritma serta warna.

Destinasi terbaik bagi sukan bola sepak itu bakal menjadi mercu tanda ikonik dan menjadi tempat yang wajib dikunjungi pelawat dan seisi keluarga dengan menyediakan pelbagai gerai jualan, kedai cenderahati dan restoran yang bakal dibuka nanti.

–BERNAMA

(Visited 597 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button