Nasional

Sultan Ibrahim kecewa pemimpin politik ganggu kerajaan rebut kuasa

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin parti politik yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa ketika rakyat sedang gelisah dengan pandemik Covid-19 yang semakin menular.

Serentak itu, Sultan Ibrahim menitahkan kepada semua pemimpin politik Islam terutama bangsa Melayu supaya insaf bahawa kuasa pemerintahan yang mereka miliki adalah hak Allah.

Hak tersebut boleh dicabut pada bila-bila masa dan daripada sesiapa sahaja oleh Allah.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT.

“Dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda mahu agar semua pemimpin politik memikul amanah dan tanggungjawab dengan jujur.

Pemimpin politik juga diminta supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah lebih daripada mengutamakan kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian dan kestabilan negara.

“Oleh itu, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim.-SM

 

 

(Visited 788 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button