fbpx
Nasional

Pegawai PALAPES harus sentiasa bersedia pertahan kedaulatan negara – Raja Muda Perlis

Rawalpindi, Pakistan.

Jika berlakunya sebarang peperangan atau situasi yang memerlukan melibatkan negara ini, maka seseorang Pegawai Tauliah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia yang sudah tidak lagi aktif dalam pasukan juga hendaklah secara pantas menampilkan diri ke hadapan melaporkan diri kepada unit-unit yang terdekat yang terdapat di setiap negeri untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah merangkap Inspektor Jeneral Latihan dan Evaluasi (Inspector General Training and Evaluation) Angkatan Tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Sher Afgun, Hilal-e-Imtiaz di ibu pejabat beliau di Kantomen Rawalpindi yang terletak tidak jauh daripada bandar raya Islamabad pada pagi semalam.

Baginda diiringi sama oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Lt. Kolonel Prof Ts Dr Zaliman Sauli dari Universiti Malaysia Kelantan.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohd Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.


Baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat turut mengingatkan bahawa seseorang pegawai atau anggota pasukan Askar Wataniah baik yang masih ataupun tidak lagi aktif di dalam perkhidmatan disarankan untuk sentiasa menjadi mata dan telinga kepada pasukan tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam masa aman mahupun ketika negara berada di dalam kancah peperangan.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ ke Pakistan kali ini lagi, sebagai pegawai tauliah PALAPES yang pernah terlatih dalam angkatan tersebut, mereka masih mempunyai kelebihan sebagai jaringan sumber kepada elemen perisikan pertahanan negara.

Untuk rekod, Pakistan berkeluasan 881,913 kilometer persegi dengan rakyat seramai 212,228,286 penduduk.

Show More

Related Articles

Back to top button