Nasionalpilihan

Subsidi bersasar bemi ketelusan dan keadilan ekonomi

MENGAMBIL langkah berani untuk melakukan reformasi ekonomi, Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penyusunan semula sistem subsidi diesel baru-baru ini.

Pendekatan subsidi bersasar ini dijangka dapat menjimatkan negara sebanyak RM4 bilion setiap tahun. Ia merupakan jumlah yang signifikan dan menyerlahkan komitmen Kerajaan terhadap pengurusan fiskal berhemah.

Selama hampir dua dekad, pemimpin Kerajaan sebelum ini berkali-kali mempertimbangkan idea untuk melaksanakan subsidi bahan api bersasar dan turut melaburkan sumber yang banyak untuk membangunkan mekanisme bagi merealisasikannya.

Namun, perancangan yang dibuat terpaksa dibatalkan kerana mereka bimbang ia akan menjejaskan populariti serta tidak sanggup untuk berhadapan dengan kerumitan proses pelaksanaannya.

Kita seharusnya menarik nafas lega apabila pentadbiran Kerajaan pada masa ini sanggup menghadapi cabaran ini serta mempamerkan ketegasan yang amat diperlukan untuk mengambil langkah berani sebegini.

Kepentingan reformasi ekonomi ini tidak boleh dipandang remeh. Pada bulan Februari, Menteri  perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan statistik yang mengejutkan iaitu tiga juta liter diesel diseludup keluar negara setiap hari.

Kegiatan haram ini menyebabkan kerugian kira-kira RM4.5 juta sehari.

Angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana kegiatan haram sebegini selalunya mempunyai sisi gelap yang masih belum terbongkar. Data ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk mengambil langkah-langkah tegas bagi membanteras kegiatan haram yang berleluasa ini.

Skim subsidi yang dikaji semula ini lebih daripada sekadar langkah penjimatan kos; ia adalah bukti dedikasi pentadbiran untuk memastikan bahawa bantuan kewangan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Dengan mensasarkan subsidi kepada kumpulan tertentu, Kerajaan berupaya meringankan beban kewangan ke atas segmen masyarakat yang paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup sambil mempromosikan kecekapan dan kesaksamaan ekonomi.

Pendekatan yang diambil Kerajaan bertujuan untuk memberikan manfaat secara langsung kepada mereka yang memerlukan tanpa mengganggu sektor logistik atau ekonomi secara amnya.

Kita menyedari bahawa antara kebimbangan utama rakyat Malaysia ialah potensi kesan reformasi subsidi ini terhadap harga barangan. Kebimbangan ini ada asasnya, memandangkan sebarang perubahan dalam harga bahan api boleh memberikan kesan terhadap rantaian bekalan, menjejaskan kos pengangkutan dan seterusnya meningkatkan harga barangan.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pendekatan ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga menerusi pelbagai usaha di bawah:
1. Peruntukan Subsidi Bersasar: Kerajaan memastikan bahawa perniagaan dalam sektor pengangkutan, individu yang layak dan pekebun kecil terus menerima sokongan yang diperlukan. Peruntukan bersasar ini membantu mengurus kos operasi dan menghalang peniaga memindahkan kos tambahan kepada pengguna.
2. Pemantauan dan Peraturan yang Berkesan: Kerajaan menggunakan mekanisme pemantauan harga yang melibatkan pengumpulan data dan analisis untuk melihat trend perubahan harga secara berterusan. Pendekatan proaktif ini akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti dan menangani dengan cepat sebarang kenaikan harga yang tidak wajar dan mengekalkan kestabilan pasaran.
3. Kerjasama dengan Persatuan Pengguna: Melalui kerjasama rapat dengan persatuan pengguna, Kerajaan boleh mendapatkan maklum balas mengenai keadaan sebenar di lapangan. Maklum balas ini penting untuk mengekalkan suasana perniagaan yang adil dan menghalang eksploitasi terhadap isu berkaitan perubahan subsidi.
4. Kawalan Pasaran Secara Kendiri: Walaupun ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan daripada reformasi subsidi ini, kuasa untuk memilih sebenarnya terletak sepenuhnya pada pengguna. Dalam pasaran yang kompetitif, perniagaan yang cuba mengeksploitasi inisiatif Kerajaan dengan menaikkan harga perlu menghadapi kesan perbuatan tidak bertanggungjawab mereka. Pengguna sudah pasti akan menyokong perniagaan yang mengekalkan harga berpatutan dan mengamalkan perniagaan secara jujur.

Sebenarnya kesedaran, tanggungjawab dan kejujuran setiap pihak ini akan mewujudkan mekanisme kawalan secara semula jadi dan membantu memastikan harga berpatutan di pasaran yang akhirnya akan memberikan manfaat kepada pengguna dan para peniaga yang bertanggungjawab.

Maklum balas daripada pengguna dan pihak berkepentingan memainkan peranan penting dalam mengekalkan harga yang adil dan menghalang eksploitasi.Tambahan pula, pihak pentadbiran negara juga amat komited untuk memantau dinamik pasaran dengan teliti bagi memastikan tiada sesiapa yang mengeksploitasi reformasi ini.

Skim subsidi baharu ini bukan semata-mata berkaitan penjimatan segera tetapi turut dilaksanakan untuk keuntungan jangka panjang bagi negara. Dengan membanteras penyeludupan diesel dan mengagihkan semula sumber secara efisien, Malaysia dapat mengelakkan kerugian harian yang besar nilainya.

Pendekatan bersasar ini akan memastikan penjimatan yang ketara dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sekaligus memupuk persekitaran ekonomi yang seimbang dan adil.

Walau bagaimanapun, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa usaha untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat reformasi ini bukan mudah dan penuh cabaran.

Memandangkan persepsi dan penerimaan orang ramai amat penting, Kerajaan perlu mengadakan sesi dialog secara berterusan untuk menjelaskan manfaat subsidi bersasar ini dan menangani sebarang kebimbangan. Ketelusan dalam pelaksanaan skim ini dan hasil yang mampu dikumpul dan diberikan kepada golongan sasar pastinya akan membina kepercayaan dan mendapat sokongan masyarakat.

Sebagai kesimpulan, komitmen Kerajaan terhadap reformasi subsidi diesel bersasar ini adalah tanda positif dedikasi pemimpin negara terhadap pengurusan fiskal yang berhemah dan usaha mereka memperjuangkan keadilan sosial.

Dengan menangani kelemahan dan ketirisan dalam sistem yang sedang dilaksanakan, Malaysia akan memperoleh bukan sahaja penjimatan kewangan yang besar tetapi juga landskap ekonomi yang lebih seimbang dan adil.

Jalan yang harus dilalui pastinya mencabar, tetapi dengan komitmen yang teguh dan pelaksanaan yang telus, reformasi ini berpotensi untuk membawa perubahan yang bermakna dan berkekalan bagi negara.

MANIVANAN GOWIN
Setiausaha Politik Pejabat Presiden KEADILAN
YAB Dato Seri Anwar Ibrahim /
Ahli Majlis Pimpinan Pusat /
Mantan Ahli Parlimen Kapar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button