Ekonomi

Sime Darby Property catat peningkatan pendapatan 43% kepada RM685.3 juta

Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mengakhiri suku kewangan pertamanya berakhir 31 Mac  2023 (“Q1 TK2023”) dengan pendapatan 43% lebih tinggi sebanyak RM685.3 juta berbanding RM480.3 juta pada
tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM97.9 juta, mencapai pertumbuhan 18% tahun-ke-tahun (“YoY”) yang memberangsangkan berbanding Q1 TK2022 sebanyak RM83.2 juta.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (“PATAMI”) turut  kukuh sebanyak 17% kepada RM60.7 juta berbanding RM51.8 juta tahun lepas.

Syarikat mencatatkan jualan berjumlah RM688.5 juta. Sumbangan daripada segmen perindustrian mengatasi segmen perumahan sebagai penyumbang utama dengan 55% atau RM376.0 juta daripada jumlah jualan yang dicapai bagi suku dalam tinjauan.

Pencapaian ini disumbangkan oleh kejayaan berterusan Syarikat dalam memanfaatkan segmen perindustrian sebagai saluran baharu untuk pertumbuhan, di samping juga mengekalkan jualan perumahan yang kukuh.

Keuntungan kasar berada di atas jangkaan Syarikat pada 30% dengan semua segmen perniagaan, iaitu Pembangunan Hartanah (Property Development), Pelaburan & Pengurusan Aset (Investment & Asset Management atau “IAM”) dan Leisure, mencatatkan keuntungan pada peringkat PBT pada Q1 TK2023.

“Kami berbesar hati untuk memulakan Q1 TK2023 dengan kukuh. Sesungguhnya, strategi dan perancangan kami membuahkan hasil yang signifikan, terutamanya memandangkan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan pemilik rumah dan pelabur kami yang semakin berkembang.

“Keupayaan kami untuk bertindak terhadap keadaan pasaran dan merebut peluang secara proaktif telah membolehkan kami untuk mencatatkan prestasi yang kukuh bagi suku tersebut melalui pelaksanaan pelan dengan cemerlang.

“Ia juga merupakan bukti strategi kami untuk mengembangkan segmen perindustrian, selaras dengan rancangan kami untuk mempelbagaikan campuran produk perniagaan teras Enjin 1 kami,” kata Pengarah
Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.

Q1 TK2023 YoY Mengikut Segmen

Segmen Pembangunan Hartanah kekal sebagai penyumbang pendapatan utama, menyumbang sebanyak 93% daripada pendapatan Syarikat bagi suku tersebut.

Sumbangan  pendapatan daripada segmen ini berjumlah RM636.8 juta, iaitu 46.1% lebih tinggi berbanding
tempoh yang sama tahun lepas, berikutan kemajuan tapak yang lebih tinggi di perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, Bandar Elmina, Nilai Impian, Elmina Business Park dan Hamilton Nilai City. PBT meningkat sebanyak 59.6% kepada RM92.4 juta berbanding RM57.9 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan bagi segmen IAM meningkat sebanyak 3.9% YoY kepada RM26.2 juta. PBT untuk segmen tersebut lebih rendah pada RM3.6 juta daripada RM17.2 juta sebelum ini terutamanya disebabkan oleh bahagian kerugian daripada usaha sama berbanding bahagian keuntungan yang dicatatkan pada Q1 TK2022.

Pendapatan Leisure meningkat 15.5% YoY kepada RM22.3 juta manakala PBT lebih rendah pada RM1.9 juta berbanding RM8.1 juta tahun lepas yang merangkumi keuntungan daripada penjualan hartanah leisure di Vietnam berjumlah RM8.9 juta.

Pelancaran dan Jualan Produk Q1 TK2023

Sebagai pemaju hartanah perintis, Sime Darby Property terus memanfaatkan perbandarannya yang terletak di lokasi-lokasi strategik untuk menyediakan produk dengan susun atur praktikal dan kemudahan yang baik di kawasan kejiranan yang kondusif.

Syarikat  melancarkan pelbagai projek baharu pada Q1 TK2023 dan telah memenuhi keperluan pasaran dengan produk-produk bernilai RM1.0 bilion yang terdiri daripada perumahan bertanah (58%), komponen perumahan bertingkat tinggi (29%) dan produk perindustrian(13%).

Produk perumahan bertanah mencatatkan kadar pengambilan purata sebanyak 79% setakat 7 Mei 2023, dengan rumah bersambung dua tingkat Emilia 1 di Nilai Impian mencapai kadar pengambilan sebanyak 100%; Serenia Anisa 1 di Bandar Serenia sebanyak 87%; dan Nadira 3 di Bandar Bukit Raja sebanyak 75%. Paling ketara, kesemua 507 unit Tower One Serasi Residences di Putra Heights telah habis dijual dalam beberapa minit selepas pelancaran rasminya pada bulan Februari.

Produk perindustrian Syarikat mencapai kadar pengambilan purata sebanyak 69% setakat 7 Mei 2023, dengan sumbangan utama daripada produk yang terletak di Bandar Universiti Pagoh dan unit industri campuran di Nilai Impian.

Pencapaian Kewangan dan Operasi

Inventori lengkap Syarikat stabil pada RM274.1 juta pada 31 Mac 2023. Sementara itu, baki tunai berdaftarnya kukuh pada RM945.0 juta. Nisbah hutang bersih kekal rendah pada 20.4%, yang menyediakan kebolehan pembiayaan untuk pelan pengembangan yang bernilai akretif dan sinergistik kepada Sime Darby Property.

Pencapaian jualan Sime Darby Property sebanyak RM688.5 juta bagi suku tersebut merangkumi 30% daripada sasaran jualan Syarikat sebanyak RM2.3 bilion untuk TK2023. 73% daripada jualan yang dicapai sebanyak RM500.9 juta adalah hasil daripada projek-projek yang dilancarkan sebelum TK2023.

Sumbangan daripada segmen perindustrian meningkat dengan ketara kepada 55% daripada  jumlah jualan suku tahunan berbanding 31% pada Q1 TK2022, manakala hartanah perumahan bertanah dan perumahan bertingkat tinggi, masing-masing menyumbang 25% dan 19% daripada produk yang dijual.

Syarikat mengekalkan jualan belum dibil yang kukuh sebanyak RM3.6 bilion pada 31 Mac 2023, yang memastikan penjanaan pendapatan untuk tiga tahun akan datang. Sementara itu, tempahan semasa adalah berjumlah RM1.6 bilion setakat 7 Mei 2023. Prospek untuk TK2023

Syarikat menjangkakan bahawa pasaran hartanah akan kekal stabil secara keseluruhan pada tahun 2023, dengan indikasi permintaan yang sihat untuk produk perumahan dan perindustrian bertanah. Pemulihan pasaran buruh asing akan menjadi petanda yang baik bagi Syarikat dalam mengekalkan momentum kukuhnya sepanjang TK2023.

Azmir berkata: “Kami yakin tentang prospek Syarikat untuk 2023, terutamanya memandangkan saluran pelancaran terpelbagai kami sebanyak RM3 bilion dalam GDV, termasuklah perumahan bertingkat tinggi dan perumahan bertanah, serta hartanah perindustrian. Syarikat akan menyampaikan 4,000 unit kediaman yang tersedia untuk dimiliki pada tahun 2023, hasil daripada prestasi memberangsangkan kami dalam beberapa tahun
kebelakangan ini.

“Oleh itu, kami akan menumpukan usaha kami pada penyampaian produk, pelaksanaan dan pengurusan projek, dan pengurusan kos yang cekap. Kami yakin dengan keupayaan kami untuk mencapai matlamat operasi dan kewangan kami untuk tahun ini.” – SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button