Ekonomi

Kumpulan Public Bank Catat Untung Sebelum Cukai Sebanyak RM2.21 Bilion Bagi Suku Pertama Tahun 2023

Bagi suku pertama berakhir pada 31 Mac 2023, Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 10.4% kepada RM2.21 bilion, berbanding dengan suku yang sama pada tahun 2022.

Keuntungan bersih meningkat pada kadar lebih tinggi sebanyak 22.6% kepada RM1.71 bilion dalam tempoh sama, berikutan pengenaan cukai makmur dalam tempoh sama sebelum ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek, berkata, “Kumpulan Public Bank terus mengharungi cabaran dalam persekitaran operasi yang berkembang dan menunjukkan ketahanan dalam
prestasi pada suku pertama tahun 2023, yang terutamanya disokong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan peruntukan pinjaman pengurangan nilai yang baik.”

Pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak 7.4%, terutamanya didahului oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, yang berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan masing-masing sebanyak 5.0% dan 9.1%.

Berserta peruntukan pengurangan nilai yang rendah pada suku berkenaan, Kumpulan mengekalkan pulangan ekuiti bersih yang kukuh sebanyak 13.6%.

Meskipun tekanan inflasi tinggi, kenaikan dalam perbelanjaan operasi berjaya dikawal pada 4.7%, disokong oleh pengurusan kos Kumpulan yang berhemah.

Justeru, Kumpulan berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang efisien sebanyak 33.1% pada suku pertama tahun 2023.

Kualiti aset kekal stabil dengan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar yang rendah sebanyak 0.5%. Peruntukan pinjaman pengurangan nilai adalah lebih baik sebanyak 98.5% kepada RM1.5 juta berbanding dengan RM99.7 juta pada suku sama pada tahun 2022.

Perniagaan Pinjaman dan Deposit Pada suku pertama berakhir pada bulan Mac 2023, Kumpulan Public Bank mengekalkan momentum pertumbuhan pinjaman yang baik pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.0% kepada RM381.6 bilion, sebahagian besarnya disokong oleh portfolio pinjaman domestik yang meningkat pada kadar tahunan sebanyak 5.4% kepada RM356.8 bilion.

Pertumbuhan pinjaman domestik terutamanya disumbang oleh pembiayaan harta tanah kediaman, pembiayaan sewa beli serta pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang meningkat pada kadar tahunan masing-masing sebanyak 6.1%, 11.5% dan 2.7%.

Pencapaian ini mengekalkan kedudukan Kumpulan sebagai peneraju dalam pembiayaan harta tanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pemberian pinjaman PKS domestik, dengan bahagian pasaran masing-masing berada
pada 20.6%, 30.4% dan 19.0%.

Kedudukan pendanaan dan mudah tunai Kumpulan kekal baik, disokong oleh pertumbuhan deposit pelanggan yang baik pada kadar tahunan sebanyak 9.1% kepada RM403.7 bilion. Deposit domestik meningkat sebanyak 10.2% pada kadar tahunan kepada RM376.5 bilion, disebabkan oleh pertumbuhan deposit runcit yang
konsisten.

Seperti yang ditunjukkan oleh kunci kira-kiranya yang seimbang, Kumpulan Public Bank terus mengekalkan nisbah pinjaman kasar kepada dana dan ekuiti yang stabil sebanyak 80.4% pada akhir bulan Mac 2023.

Kualiti Aset

Pada akhir bulan Mac 2023, Kumpulan Public Bank terus memperoleh dan mengekalkan kualiti aset yang baik dan kukuh seperti yang ditunjukkan oleh nisbah pinjaman pengurangan nilai kasarnya yang baik sebanyak 0.5%, ketara lebih baik berbanding dengan purata nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar industri perbankan domestik sebanyak 1.7%.

Nisbah perlindungan kerugian pinjaman kasar Kumpulan berada pada 217.8%, jauh melebihi nisbah kerugian pinjaman industri perbankan sebanyak 95.8%. Termasuk rizab pengawalseliaan, nisbah kerugian pinjaman Kumpulan adalah lebih tinggi pada 239.6%.

Dengan pemulihan ekonomi pada masa ini, Kumpulan memantau trend pembayaran balik yang stabil daripada pelanggan. Namun, walaupun ekonomi diramal mencabar pada tahun 2023, Kumpulan akan terus berhati-hati dalam menguruskan portfolio pinjamannya dan akan terus memberi bantuan kepada pelanggan yang berhadapan dengan kesukaran untuk membayar balik pinjaman.

Pendapatan Bukan Faedah

Pada suku pertama tahun 2023, pendapatan bukan faedah meningkat secara marginal sebanyak 0.7% berbanding dengan suku sama pada tahun 2022. Keadaan pasaran yang muram diimbangi oleh keuntungan daripada pertukaran asing, pendapatan daripada pembrokeran saham dan pendapatan daripada pelaburan yang tinggi.

Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Bank yang dijalankan oleh subsidiari milik penuhnya, Public Mutual, kekal penyumbang utama pendapatan bukan faedah Kumpulan.

Public Mutual mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM192.6 juta pada suku tahun semasa, menyumbang 8.7% kepada keuntungan Kumpulan.

Dengan jumlah aset di bawah pengurusan sebanyak RM94.4 bilion dan 179 dana unit amanah yang diuruskannya, Public Mutual terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar sebanyak 35.7% pada akhir bulan Mac 2023.

Operasi Luar Negeri

Pada suku pertama tahun 2023, operasi luar negeri Kumpulan Public Bank menyumbang sebanyak 8.1% kepada keuntungan Kumpulan, sebahagian besarnya merupakan sumbangan daripada operasi Hong Kong dan Indochina.

Public Bank Vietnam dan Public Bank Kemboja terus menunjukkan prestasi keuntungan yang baik, seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan keuntungan dua digit masing-masing sebanyak 24.5% dan 59.8% tahun ke tahun. Indochina akan terus menjadi bidang pertumbuhan fokus utama, dengan rangkaian cawangan serta produk dan perkhidmatan yang terus berkembang.

Kumpulan menyasarkan untuk membuka 8 buah cawangan baharu di Vietnam untuk menjadikan keseluruhan 40
buah cawangan menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, persekitaran operasi Kumpulan di Hong Kong sukar dijangka dan kekal mencabar walaupun langkah-langkah pengawalan COVID-19 telah dihentikan.

Kedudukan Modal dan Mudah Tunai

Pada akhir bulan Mac 2023, Kumpulan kekal dipermodalkan dengan baik dengan nisbah modal ekuiti biasa  Kumpulan 1, nisbah modal Kumpulan 1 dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada 14.6%, 14.7% dan 17.7%. Nisbah perlindungan mudah tunai juga kekal stabil dan baik pada 137.1%.

Kedudukan modal dan mudah tunai Kumpulan kekal baik dan bertahan dalam menghadapi tekanan yang mungkin timbul. Kumpulan akan terus menguruskan kunci kira-kiranya dengan berhemat dalam mengejar pertumbuhan perniagaan perbankannya.

Prospek Kumpulan

Pasaran kewangan yang semakin tidak menentu dan kebimbangan yang meningkat tentang keadaan sektor perbankan di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah menimbulkan persoalan mengenai kesan penularan yang mungkin timbul.

Ini berkemungkinan besar akan meningkatkan tekanan ke atas ekonomi dunia yang sedang mengharungi tahun 2023 yang penuh mencabar berikutan kenaikan inflasi, keadaan kewangan yang diperketatkan selain tekanan geopolitik.

Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, akan terus menghadapi cabaran-cabaran ini.

Namun begitu, permintaan domestik yang kukuh, disokong oleh pasaran pekerjaan yang semakin baik, projek pelaburan berbilang tahun, dasar Kerajaan dan pemulihan semula ekonomi China akan terus menyokong ekonomi Malaysia pada landasan pertumbuhan yang positif, yang memberi persekitaran perniagaan yang stabil dan kondusif untuk pertumbuhan perniagaan perbankan.

Tan Sri Tay berkata, “Kumpulan Public Bank sedar akan cabaran semasa dan landskap yang berkembang. Kumpulan akan terus fokus terhadap kos berperaturan, pengekalan kualiti aset yang baik dan amalan tadbir urus korporat yang teguh agar ia mampu bertahan apabila menghadapi kesukaran.

Namun, Kumpulan akan terus mengambil langkah proaktif dalam merebut peluang pertumbuhan yang wujud daripada peningkatan ekonomi, transformasi digital dan permintaan ESG yang semakin berkembang.” – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button