Seluruh dunia buntu
BELANG terbaca tajuk sebuah akhbar tempatan yang berbunyi ‘Seluruh Negara Buntu’.
Belang berasakan tajuk itu tidak adil kepada negara kita. Sedangkan situasi sebenarnya seluruh dunia sedang buntu menghadapi penularan wabak Covid-19.
Tidak ada kayu pengukur yang tepat untuk dijadikan ukuran kejayaan sesebuah negara atau kerajaan dalam memerangi wabak ini.
Yang ada sesetengah menteri kabinet yang kurang cekap dan itu memang berlaku di dalam mana-mana kerajaan dewasa ini dan diburukkan lagi oleh pihak pembangkang yang memesongkan fakta dan data untuk menyalahkan kerajaan demi menarik sokongan orang ramai.
Data Kementerian Kesihatan memang jelas menunjukkan bahawa hanya sekitar 8 peratus sahaja penularan Covid-19 adalah melibatkan sektor perkilangan.
Bagaimanapun data itu diremehkan oleh tentera siber pembangkang dan didendangkan lagi oleh netizen yang malas membuat kajian dan analisis, maka berjayalah niat jahat pembangkang.
Permainan ini adalah sangat berbahaya kerana mengubah pola pemikiran orang ramai daripada mengakui hakikat bahawa varian baharu Covid-19 kini telah sebati di dalam masyarakat dan masyarakatlah yang menjadi penyumbang kepada penularan besar-besaran, sebaliknya meletakkan kesalahan kepada sektor perkilangan.
Lihat sahaja kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 188.1 juta, berikutan lebih 300,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 33.93 juta kes.
Ini diikuti India dengan lebih 30.94 juta kes dan Brazil dengan lebih 19.15 juta kes.
Dan hari ini hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur.
PKPD telah ‘mengurung’ sebahagian besar 8 juta warga Lembah Klang di kediaman masing-masing dari 3 hingga 16 Julai apabila hanya boleh bergerak sekitar radius 10 kilometer. Lebih tragis, PKPD tersebut adalah sambungan daripada total lockdown di seluruh negara yang sudah bermula sejak 1 Jun lalu.
Pendek kata secara mudahnya sudah 44 hari rakyat Malaysia terutamanya warga Lembah Klang ‘berkurung’.
Pada 13 Julai lalu, buat kali pertamanya dalam tempoh setahun enam bulan ini, Malaysia mencatatkan kes harian melepasi lima digit iaitu 11,079 kes. Pada Selasa, angka tersebut semakin tinggi 11,618 kes dan pada Rabu angka naik lagi kepada 13,215 kes.
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar dipetik Sinar Harian berkata, kitaran penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja kepada komuniti dan balik ke tempat kerja mesti diputuskan segera sekiranya mahu menurunkan jumlah kes.
Menurut pakar virologi itu, selagi tidak serius dalam menangani isu penularan jangkitan di tempat kerja, tidak kira sektor apa sekalipun termasuk yang dilabel kritikal akan terus dilanda wabak maut tersebut.
Virus akan terus bergerak dengan mereka yang bergerak. Rantaian hanya boleh diputuskan sekiranya tiada pergerakan atau setiap yang bergerak telah disaring negatif dahulu sebelum dibenarkan berada di tempat kerja.
Disaring bukan dengan pengambilan suhu tetapi dengan ujian RTK Antigen.
Kemunculan varian baharu seperti varian Delta yang amat mudah menular dan mampu menggandakan kes positif dengan kadar yang cepat turut menambahkan lagi kegusaran dalam kalangan orang ramai.
Apa sahaja langkah yang diambil bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 sama ada PKP, PKPD mahupun lockdown tidak akan mendatangkan perbezaan atau hasil positif jika tidak dilaksanakan dengan serius atau pada tempat yang sepatutnya.
Beliau mengingatkan masyarakat jangan berperang salah tempat. Penularan di tempat kerja yang ramai pekerja namun yang ditutup peniaga kecil yang pekerja cuma seorang dua.
Sebab itu di negara seperti Amerika Syarikat dan India di mana penularan wabak sudah menjadi sporadik, mereka tidak lagi menumpukan perhatian kepada jumlah jangkitan penyakit, tetapi memusatkan usaha kepada vaksinasi penduduk.
Ini bermakna apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia hari ini berada pada landasan yang tepat iaitu bagi mencapai vaksinasi 80 penduduk negara ini melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bakal dicapai pada akhir tahun ini.
Jika jumlah vaksinasi mencapai hampir kesemua penduduk negara ini dan tiada mutasi varian baharu, Covid-19 akan menjadi seperti selesema biasa yang boleh sembuh dengan mengambil paracetamol sahaja.
Bagaimanapun untuk beranggapan sedemikian juga tidak selamat kerana virus ini cepat bermutasi dan lihat sahaja Varian-D yang tular dari India boleh menjangkit dalam masa 45 saat sahaja serta menyebabkan kadar kematian yang tinggi.
Sebagai manusia yang diberi akal fikiran, kita akan terus berusaha dan selebihnya berserah kepada yang maha Esa.