Sekali lagi sangkar ikan patin Amerul Affendi rosak dilanda banjir
KALI kedua berdepan dugaan yang sama apabila sangkar ikan patin yang diusahakan pelakon hebat, Amerul Affendi, 35, bersama rakannya di Sungai Pahang rosak akibat banjir, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi yang baru sahaja ingin bernafas daripada tragedi sama awal tahun ini, turut berkata belum menerima bantuan daripada pihak berkaitan atas kerugian kali pertama yang lalu.
Tambahnya, dia hanya menerima makanan ikan dan bukan bantuan seperti yang dijanjikan pihak berkaitan.
“Untuk kerugian sangkar ikan patin awal tahun sebelum ini pun mereka kata nak bagi bantuan bencana, namun yang sampai hanya makanan ikan saja.
“Yang rosak adalah sangkar kerana dirempuh kayu balak hanyut. Saya buat laporan polis maklumkan sangkar rosak teruk, tapi akhirnya bantuan yang diterima ialah makanan ikan,” katanya.
Menurut Amerul, dia terkejut apabila diberitahu perkara tersebut tetapi hanya mampu memujuk hati sendiri.
Jelasnya lagi, kerosakkan sangkar kali ini sama macam awal tahun tetapi tidak seteruk seperti banjir pada tahun 2014 dan dia bernasib baik kerana ikan sudah habis jual pada Oktober lalu.
“Kali ini kami hanya dapat jual ikan patin satu musim saja dalam setahun sebab mula isi kembali dengan anak ikan pada Februari lalu.
“Memang tak dapat pulang modal baliklah untuk kerosakan sebelum ini. Kami agak ‘struggle’ kerana baru pulih, tapi kena lagi. Tak tahu apa yang rosak sekarang,” katanya.
Amerul berkata kos untuk membaiki sangkar dianggarkan bernilai RM4,000 atau lebih untuk sangkar kosong dan tidak diisi ikan.
Dalam pada itu, Amerul turut mengusahakan ternakan kerbau dan dia bersyukur kerana kerbau peliharaannya terselamat daripada banjir.-SM