Politik

Rodziah akan cabar Fadhlina sebagai Ketua Wanita Pusat PKR

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat bagi sesi 2025-2028 yang kini disandang Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

”Saya ucapkan terima kasih kepada barisan Exco sedia ada yang turut hadir bersama saya malam ini (malam tadi).

”Sebenarnya semangat yang ada daripada kalian yang menyebabkan saya menawarkan diri untuk terus terlibat dalam kepimpinan sayap wanita.

”Jadi, perkara ini (bertanding) merupakan tekad saya untuk kembali menerajui Wanita KEADILAN walaupun jawatan terakhir saya dahulu adalah Timbalan Ketua Wanita.

”Tapi saya yakin, Insya-Allah sedikit sebanyak pengalaman yang ada pada saya dalam pelbagai bidang yang telah pun diberikan kepercayaan kepada saya sebelum ini, saya optimis dengan membentuknya kepimpinan baharu nanti, kita boleh terus melangkah untuk membawa Wanita KEADILAN ke depan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Ampang, malam tadi.

PKR dijadual mengadakan pemilihan di peringkat bahagian bermula dari 11 hingga 20 April manakala bagi kepimpinan pusat pula akan berlangsung pada 24 Mei depan.

Sebelum ini, Rodziah kalah tipis kepada Fadhlina dengan perbezaan hanya 32 undi pada pemilihan 2022.

Menerusi pemilihan tersebut, Fadhlina memperoleh 18,923 undi dan Rodziah 18,891 undi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button