
ELMU Jalin Kerjasama dengan APM, Tawar Tajaan Penuh kepada Anggota dan Keluarga B40
Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), melalui Yayasan ELMU, akan menawarkan tajaan penuh kepada sepuluh orang kalangan warga serta keluarga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daripada golongan B40 bagi melanjutkan pelajaran di universiti itu.
Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata calon yang terpilih akan ditawarkan mengikuti program Pengurusan Bencana dan Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa bagi pengambilan Mac 2025 sama ada secara separuh masa atau sepenuh masa.
“Kami menawarkan lima biasiswa kepada mereka yang berminat untuk mengikuti program Diploma in Disaster Management atau Diploma in International Law Enforcement. Syarat kemasukan ialah minimum tiga kredit pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau setaraf dengannya.
Kami juga menyediakan lima lagi biasiswa kepada mereka yang lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dengan CGPA 2.0, atau lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia atau lulus Diploma/Asasi/Matrikulasi dengan CGPA 2.0 untuk mengikuti program Bachelor in Disaster and Emergency Management (Honours), atau Bachelor in International Law Enforcement (Honours),” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Bulan Pertahanan Awam dan Wacana Nasional mengenai Struktur dan Hala Tuju Kesukarelawanan Malaysia’ oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Institut Semarak Felda di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, Datuk Dr. Kassim turut menandatangani Nota Kerjasama bersama-sama Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed.

Datuk Aminurrahim dalam kenyataan balasnya menyatakan penghargaan kepada ELMU kerana ini merupakan kali pertama agensi itu menerima tawaran biasiswa daripada sebuah universiti untuk kakitangan dan anggota keluarga mereka.
Terdahulu, ketika melancarkan majlis berkenaan, Datuk Seri Dr. Noraini berkata perancangan dan hala tuju yang jelas dalam aktiviti kesukarelawanan akan memastikan aktiviti lebih tersusun, berkesan, dan memberi impak positif kepada masyarakat.

“Apabila sukarelawan memahami matlamat sesuatu program dan diselaras dengan baik, maka mereka dapat melaksanakan aktiviti atau khidmat sukarelawan dengan lebih teratur dan sistematik.
“Sekiranya wujud perancangan strategik yang bersifat jangka panjang serta penyelarasan yang lebih sistematik antara pelbagai pihak berkepentingan, setiap inisiatif yang dilaksanakan akan menjadi lebih tersusun, berkesan, dan memberi impak yang lebih mampan kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, bersempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam pada 24 Mac depan, APM turut menganjurkan Bulan Pertahanan Awam 2025 pada 10 Mac hingga 10 April dengan pelaksanaan 73 program dan aktiviti termasuk penganugerahan 73 kategori penghargaan kepada pegawai, anggota dan masyarakat yang berjasa pada peringkat daerah dan unit pertahanan awam di seluruh negara.