Rupanya ada terowong rahsia di tengah bandar Kuala Lumpur
SEBUAH terowong dipercayai berusia ratusan tahun yang jaraknya dari Bukit Nanas hingga ke Sungai Klang ditemui oleh seorang kontraktor yang diupah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk baikpulih cerun yang runtuh pada Mei 2013.
Dipercayai dulu terowong ni sebahagian daripada jaringan terowong yang hilang ditelan masa dan pembangunan di kawasan berkenaan.
Kaum Mandailing menggunakan terowong sempit itu sebagai laluan rahsia ketika berlangsungnya Perang Saudara Selangor pada 1868 hingga 1871.
Masyarakat Mandailing mendiami bukit yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Gombak pada pertengahan kurun ke-19.
Dahulu di sinilah letaknya Bagas Godang (Rumah Besar) dan juga kubu pertahanan Raja Asal, pemimpin perang kaum tersebut.
Raja Asal dan orang-orangnya menanam pokok nanas di sekeliling kubu pertahanan tersebut.
Tujuannya supaya pokok nanas menjadi penghalang kepada musuh kaum Mandailing yang berkaki ayam.
Terowong itu pula digunakan sebagai tempat menyimpan senjata, makanan dan juga harta benda, selain menjadi pos strategik apabila kaum Mandailing melancarkan serangan mengejut dan juga sebagai laluan menyelamatkan diri.
Penemuan ni mengukuhkan lagi beberapa cerita dan bualan mulut orang terdahulu tentang peperangan di puncak bukit itu selain wujudnya istana lama pernah dihuni oleh raja-raja Melayu.
Terowong ni dipercayai dibina oleh kudrat manusia yang menghuni Bukit Nanas sekitar 150 tahun dahulu dengan menggunakan alat tajam untuk mengorek lubang menjadi sebuah terowong.
Hasil penemuan mendapati terowong itu dijadikan pintu belakang untuk keluar masuk menuju ke Sungai Klang dan lombong bijih timah di kawasan sekitar tersebut.
Kredit Info : The Patriots
Artikle Berkaitan :>
Sejarah anak bulan kelihatan di Tapak Cerapan Masjid Terapung Kuala Perlis